PELAJAR jurusan pergigian gigih atur strategi untuk jadi penyanyi popular.
PELAJAR jurusan pergigian gigih atur strategi untuk jadi penyanyi popular.
Oleh Norhayati Nordin


Meskipun kini melanjutkan pengajian dalam jurusan pergigian dan bakal bergelar doktor gigi, namun, cita-cita itu seiring dengan minat mendalam Muhammad Hafiz Zainal pada bidang seni.

Menggunakan nama pentas, Hafiz Zainal, pemuda kacak ini nampaknya gigih mengatur strategi untuk memahat nama sebaris penyanyi popular tanah air yang lain.

Berbekalkan bakat dan rezeki diperolehnya, Hafiz, 23, muncul dengan single solo pertama, Cinta Bukan Jalan Kita ciptaan komposer terkenal, Bemby Noor.

Ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, Hafiz berkata, langkahnya untuk aktif dalam bidang seni bermula dua tahun lalu selepas menyertai satu pertandingan nyanyian.

“Saya pernah menyertai pertandingan pencarian bakat dilakukan syarikat rakaman Awakening Records pada 2013 dan syukur menang tempat kedua.

“Sejak itu, saya mula yakin dan gigih berusaha mendapat peluang untuk mengetengahkan bakat nyanyian dimiliki. Ditambah, saya sangat teruja apabila diberi peluang merakamkan single.

“Sebagai pendatang baru seni suara, saya akui meletakkan harapan tinggi pada lagu Cinta Bukan Jalan Kita ini untuk dikenali peminat muzik tempatan,” katanya.

Berbicara juga mengenai pengalamannya memasuki studio rakaman, Hafiz berkata, sebaik mendapat lagu itu untuk dinyanyikan, ia dianggap peluang keemasan baginya.

“Walaupun saya tidak pernah mengikuti kelas vokal, namun saya berasakan sudah menjadi tanggungjawab pada diri memahami tuntutan lirik dalam lagu itu.

“Saya belajar apa kehendak emosi dalam lagu Cinta Bukan Jalan Kita untuk memastikan ia dapat dirakam dengan sebaik mungkin sehingga saya berpuas hati,” katanya.

Pernah menjadi pemenang kategori Nova Media Sosial di Anugerah Planet Muzik 2013 (APM 2013), Hafiz berkata dia mmbuat rakaman lagu Sedetik Lebih yang dipopularkan Anuar Zain.

“Saya tak sangka pun lagu Sedetik Lebih dirakam itu berjaya diangkat sebagai pemenang di APM 2013 lalu kerana saingan calon lain agak sengit. Namun, sudah rezeki saya.

“Apapun kemenangan itu menjadi pemangkin semangat untuk saya terus berusaha, ditambah sokongan padu daripada keluarga,” katanya.

Mengakui keluarga sama sekali tidak menghalang minatnya untuk aktif menyanyi, Hafiz berkata, dia akan pastikan pembahagian masa di antara pelajaran dan nyanyian seiring kerana kedua-duanya amat penting.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 12:52 PM