Pemain import Negeri Sembilan Mika Junco berkongsi status dia menjadi mangsa ragut di laman Instagramnya.
Pemain import Negeri Sembilan Mika Junco berkongsi status dia menjadi mangsa ragut di laman Instagramnya.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perbuatan jenayah terhadap pemain bola sepak di negara ini dilihat tidak berkesudahan dengan terbaharu penyerang import Negeri Sembilan FC, Mika Junco ditimpa malang apabila menjadi mangsa ragut di ibu kota, hari ini.

Insiden malang itu dikongsi pemain terbabit menerusi laman Instagramnya yang turut menunjukkan kecederaan ringan di bahagian leher.

Malah, kejadian yang dipercayai berlaku di kawasan tumpuan di ibu kota itu turut menyebabkan dia kehilangan rantai emas.

"Mereka meragut rantai emas saya di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal. Semuanya selamat. Saya harap ada individu yang mula menghentikan perkara ini," katanya.

Walaupun kejadian terbabit mengejutkan pemain itu namun dia memaklumkan berada dalam keadaan selamat.

Kejadian jenayah membabitkan pemain bola sepak boleh dikatakan agak kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Antara yang menjadi mangsa adalah tonggak Harimau Malaya Faisal Halim, Akhyar Rashif, Khuzaimi Piee dan Safiq Rahim.

Mengikut rekod, Junco adalah pemain import baru skuad Rusa untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:23 PM