Kamaruddin Md Noor. Foto Siti Rohana Idris
Kamaruddin Md Noor. Foto Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) belum memutuskan calon daripada Pas atau Bersagtu untuk bertanding jika berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, apa yang penting pihaknya perlu mengekalkan kemenangan PN di Dun berkenaan.

"Kita serahkan kepada pucuk pimpinan sebab ia membabitkan dasar, yang penting membawa kemenangan, bukan nama parti Pas atau Bersatu tapi PN, iaitu parti gabungan.

"Ini yang dipertaruhkan, nama baik PN. Masing-masing bawa lambang PN dan kita bertanding di Dun Nenggiri nanti, rasanya masih guna logo Pas.

"Tapi masih lagi peringkat cadangan, apa pun diputuskan (pimpinan) pusat, kita tunggu pengumuman SPR (Suruhanjaya Pilihanraya)," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu, Speaker Dun Kelantan, Datuk Seri Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Dun Nenggiri dikosongkan.

Keputusan dibuat selepas Dun Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri pada 28 Jun bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Kamaruddin berkata, pemilihan calon diputuskan oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun mengambil kira pandangan serta cadangan di peringkat bawahan.

"Yang penting calon itu boleh diterima oleh pengundi dan kena pastikan logo parti yang digunakan boleh diterima.

"Secara peribadi saya rasa SPR akan ambil kira juga kemungkinan kerusi di Parlimen (Gua Musang) dikosongkan kerana untuk adakan PRK berkali-kali adalah membazir.

"Jika diadakan juga PRK untuk Parlimen (Gua Musang), saya sahkan parti akan meletakkan dua calon berbeza, bukan sama seperti (Mohd Azizi) yang memegang kedua-dua kerusi itu sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 3:16 PM