DATUK Mohd Amar Nik Abdullah
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah
Sharifah Mahsinah Abdullah


Kota Bharu: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang juga bekas Adun Nenggiri dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada pentadbiran Perdana Menteri, tidak membuat lafaz bai'ah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kedua-duanya adalah antara lapan calon dari Bersatu yang bertanding pada PRU di bawah tiket Pas.

Beliau berkata, mereka bagaimanapun mengambil akujanji seperti yang ditetapkan parti Bersatu.

"Sudah menjadi tradisi Pas yang mewajibkan semua calon parti membuat lafaz bai'ah sebaik saja mereka dipilih mewakili parti dalam mana-mana pilihan raya.

"Pada PRU-15, kesemua 51 calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya membuat lafaz bai'ah kecuali lapan calon Bersatu termasuk Mohd Azizi dan Zahari.

"Saya diberitahu bahawa kedua-duanya serta enam calon Bersatu yang lain mengambil akujanji mengikut kehendak parti mereka," katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Adun Panchor berkata, Pas bertanding di 51 daripada 59 kerusi DUN dan Parlimen, manakala yang selebihnya adalah Bersatu.

Media sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 28 Jun bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 1:33 PM