SIDANG DUN Selangor.
SIDANG DUN Selangor.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sekiranya keputusan berbeza dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San daripada Kelantan mengenai pengosongan tujuh kerusi Bersatu dilihat akan menimbulkan sesuatu yang 'pelik'.

Pakar Perlembagaan dan Undang-Undang, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan yang akan diambil oleh kedua-dua Speaker itu berhubung pengosongan kerusi wakil rakyat Bersatu perlu dilihat daripada segi fakta dan isu yang sama.

"Kalau ada dua keputusan yang berbeza, macam pelik. Seolah-olah peruntukan undang-undang anti lompat parti itu memang tak jelas atau terbuka kepada pelbagai tafsiran.

"Sedangkan peruntukannya sama. Pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan sama dengan Pindaan Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan yang sama digunakan di negeri dan Persekutuan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Semalam, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Amar berkata, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Mohd Azizi kemudian menyatakan beliau tidak terkejut dengan pengumuman Mohd Amar mengenai kekosongan kerusi yang disandangnya dan akan membawa kes itu ke mahkamah.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, sekiranya tidak ada perbezaan tafsiran, berkemungkinan tujuh kerusi milik Bersatu itu akan kosong.

"Saya lihat kalau tidak ada perbezaan, maka tujuh kerusi akan kosong iaitu satu DUN dan enam Parlimen," katanya.

Dalam pada itu katanya, tindakan Mohd Azizi yang mahu membawa kes itu ke mahkamah tidak akan menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tugas mereka untuk mengadakan pilihan raya di Nenggiri.

"Saya rasa tidak boleh disebabkan SPR itu badan berlainan dan tidak boleh diganggu dalam hal ehwal menjalankan pilihan raya. Cuma kalau mahkamah memerintahkan injunksi, mungkin dia boleh terpaksa tangguh dahulu.

"Isu sekarang ini ialah SPR akan teruskan untuk mengatur tarikh yang sesuai (adakan pilihan raya)," katanya.

Beliau dalam masa sama menyatakan, sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah, pihaknya tidak pasti sama ada mahkamah akan membuat semakan keputusan dibuat oleh Speaker DUN Kelantan.

"Bila sampai mahkamah pun, kita tak pasti sama ada mahkamah sanggup atau tidak untuk tafsir.

"Atas dasar bahawa keputusan DUN, keputusan Parlimen adalah keputusan prosiding yang dilindungi daripada semakan kehakiman. Itu satu lagi isu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:25 PM