KEADAAN kereta Lamborghini yang terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan IPD Bentong
KEADAAN kereta Lamborghini yang terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan IPD Bentong
Amir Hamzah Nordin


Bentong: Lelaki yang rentung dalam kemalangan selepas kereta mewah Lamborghini dipandunya terbakar di Kilometer (KM) 57, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, pagi tadi, dikenal pasti sebagai warga emas tempatan berusia 62 tahun.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dikenali sebagai Fung Swee Yen ditemukan rentung selepas terperangkap di dalam kereta itu yang terbakar dan gagal dikeluarkan oleh orang awam.

Beliau berkata, nahas 9.45 pagi tadi dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit gagal mengawal keretanya itu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong.

"Kereta itu kemudian melanggar tembok sebelum menggelungsur ke longkang kiri jalan dan berpusing lalu terbakar," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Zaiham berkata, insiden berkenaan turut menyebabkan penumpang kereta itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 47 tahun cedera.

Beliau berkata, wanita itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

"Penumpang wanita itu melecur pada tangan dan kaki. Mangsa kini menerima rawatan di hospital dan dilaporkan stabil," katanya.

Zaiham memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu, supaya tampil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Lamborghini dipandunya terbabas dan terbakar di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:44 PM