PERUNDANGAN baharu akan merangkumi lebih luas termasuk penyalahgunaan teknologi AI.
PERUNDANGAN baharu akan merangkumi lebih luas termasuk penyalahgunaan teknologi AI.
Muhammad Saufi Hassan


ANCAMAN terhadap dunia siber pada hari ini semakin kompleks dan ia pastinya lebih rumit untuk tahun mendatang apabila teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sudah mencapai tahap matangnya.

Hari ini pemain industri giat membangunkan kognitif AI iaitu satu teknologi yang dibangunkan selain melatih AI untuk berfikir, bertindak dan mempunyai kreativiti persis manusia.

Teknologi AI yang sudah berada pada genggaman umum adalah pada tahap 'generatif AI' iaitu setiap input daripada pengguna akan dipelajari enjin neural AI terbabit.

Mungkin beberapa tahun akan datang, kita akan melihat jenayah siber lebih kompleks dengan sindiket penipuan yang sangat rumit untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Untuk itu, negara perlu kepada satu peruntukan perundangan baharu yang memberi definisi lebih menyeluruh mengenai jenayah siber, penyalahgunaan AI dan teknologi baharu yang diramalkan pada masa depan.

Rang Undang-Undang Akta Keselamatan Siber sebenarnya sangat diperlukan untuk mendepani jenayah pada masa depan dan usaha kerajaan seharusnya didokong semua pihak demi kepentingan pengguna.

Akta baharu ini memberikan definisi yang lebih meluas kepada keselamatan siber termasuk ancamannya.

Penyalahgunaan teknologi itu banyak digunakan dalam aplikasi atau perisian pertukaran wajah (face swapping) yang boleh dilaksanakan dengan hanya lima saat.

PENGGUNAAN AI akan lebih meluas begitu juga dengan ancaman.
PENGGUNAAN AI akan lebih meluas begitu juga dengan ancaman.

Kebiasaannya aplikasi ini digunakan untuk tujuan bahan pornografi dengan menukar badan mangsa dengan tubuh bogel.

Kaedah itu dikenali sebagai pertukaran wajah dan setiap individu boleh melakukannya kerana ada puluhan aplikasi yang menawarkan keupayaan berkenaan.

Imej pornografi yang terhasil juga hampir sempurna apabila AI berkenaan melaksanakan keseluruhan proses berkenaan termasuk padanan tona warna kulit antara badan serta muka mangsa.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, peruntukan perundangan perlu mendahului teknologi semasa supaya hak pengguna dapat dilindungi sepenuhnya.

Menurutnya, akta sedia ada tidak lagi relevan untuk digunakan kerana hari ini teknologi sudah bersifat terlalu kompleks dan ketika akta sedia ada digubal, ia tidak merangkumi AI atau pembelajaran mesin (ML).

"Walaupun teknologi AI ini belum mencapai kematangannya, namun imej pornografi terbabit sudah menghampiri tahap sempurna.

AKTA sedia ada tidak mampu mendepani ancaman teknologi yang semakin rumit.
AKTA sedia ada tidak mampu mendepani ancaman teknologi yang semakin rumit.

"AI berkenaan mampu untuk menyeragamkan warna kulit antara mangsa serta foto bogel, sekali gus menjadikan imej terbabit persis gambar sebenar.

"Untuk itu, kami mahu mengingatkan kepada pengguna laman sosial khususnya untuk berhati-hati memuat naik gambar mereka kerana ia mungkin digunakan untuk tujuan lain," katanya.

Siraj berkata, mungkin pengguna memuat naik gambar yang sempurna atau menutup aurat, namun gambar yang sama juga boleh digunakan untuk tujuan penukaran imej serta bahan pornografi.

Atas dasar itu, MCCA sentiasa berpendirian untuk menyokong rang undang-undang berkenaan, sekali gus mengurangkan kelompongan dalam aspek perundangan siber di negara ini Siraj berkata, perundangan sedia ada tidak mencukupi untuk mendepani ancaman AI ini dan pada masa depan, teknologi ini akan lebih berkembang pesat.

RANG Undang-Undang Akta Keselamatan Siber perlu untuk mendepani ancaman keselamatan akibat kemajuan teknologi yang semakin rumit.
RANG Undang-Undang Akta Keselamatan Siber perlu untuk mendepani ancaman keselamatan akibat kemajuan teknologi yang semakin rumit.

"Kami di MCCA konsisten untuk memperjuangkan hak pengguna dan menyokong kerajaan dalam hal penggubalan Akta Keselamatan Siber yang memberi takrifan lebih meluas dengan definisi berkenaan segala bentuk ancaman siber baharu.

"Pada masa sama, orang awam perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa teknologi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 6:22 AM