MOHD Shuhaily. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Shuhaily. FOTO Arkib NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa bersama Polis Diraja Thailand (RTP) bagi membanteras jenayah siber rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia antara perkara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah ke-26.

"Seperti contoh sindiket penipuan dalam talian yang berpangkalan di Malaysia dan melakukan penipuan terhadap orang di Thailand dan sebaliknya, berikutan had kuasa (Jurisdiction) kedua-dua pasukan polis kita menghadapi masalah untuk membanteras sindiket.

"Cadangan penubuhan jawatankuasa ini saya akan bawa kepada Ketua Polis Negara untuk dipertimbangkan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Shuhaily menyempurnakan penutupan Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah ke-26.

Hadir sama, Ketua Asisten Komisioner RTP yang juga ketua delegasi, Leftenan Jeneral Sarawut Karnpanich.

Mesyuarat khas itu turut memfokuskan perbincangan isu jenayah rentas sempadan seperti aktiviti keganasan, penyeludupan dadah dan manusia selain jenayah laut serta lanun.

Sarawut turut mengakui jenayah siber menjadi pemasalahan utama di Thailand berbanding jenayah harian biasa.

"Jenayah ini menjadi isu global dan aspek penting ketika ini adalah perkongsian maklumat, perisikan dan koordinasi serta operasi bersama dalam melumpuhkan jenayah penipuan ini secara keseluruhannya, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 1:11 PM