Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berucap  pada perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berucap pada perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,439 premis disyaki menjalankan jenayah komersial dan dijadikan markas sindiket penipuan diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, 1,023 individu disyaki terbabit dengan jenayah dalam talian dan sindiket penipuan ditahan menerusi serbuan di sekitar ibu negara, di sini bagi tempoh sama.

"Sebanyak 83 kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan 'calling centre' dengan tangkap seramai 1,023 orang bagi tempoh Januari hingga Oktober.

"Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur juga melaksanakan 2,549 operasi lain dalam usaha mengekang jenayah-jenayah komersial," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun kadar jenayah indeks di ibu negara menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, namun usaha mengekang jenayah siber masih menjadi cabaran pihaknya khususnya JSJK.

Katanya, jenayah indeks di sini menurun sebanyak 410 kepada 3,763 kes berbanding tahun lalu yang mencatatkan 4,173 kes jenayah.

"Jenayah kekerasan secara keseluruhannya mencatatkan penurunan 122 kes atau 14 peratus pada tahun 2023 berbanding 895 kes bagi tahun sebelumnya.

"Begitu juga dengan jenayah harta benda yang turut menurun sebanyak 288 kes atau lapan peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM101 juta sejak Januari berbanding RM122 juta tahun lalu.

Menurutnya, jumlah tangkapan bagi Januari hingga September menunjukkan peningkatan seramai 481 kepada 12,199 berbanding 11,718 tahun lalu.

Mengulas berkenaan Op Sikap di ibu negara Allaudeen berkata tiada perancangan menjalankan semula operasi itu pada tahun ini selepas dijalankan dua kali sebelum ini.

"Setakat ini kita belum merancang untuk jalankan semula Op Sikap untuk (baki) tahun ini mungkin tahun depan kita akan laksanakan. Dari apa yang kita lihat selepas dua kali kita laksanakan Op Sikap menunjukkan hasil yang positif.

"Melihat kertas siasatan yang dibuka oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur adalah sebanyak 57,437 kes dan pertuduhan kertas siasatan semasa mencapai 98.7 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 10:20 AM