Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan ucapan perasmian Seminar DSA. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan ucapan perasmian Seminar DSA. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mempertingkatkan dan mengasah kemahiran secara berterusan terutama bagi membanteras jenayah siber dan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pencegahan secara total jenayah siber dan penyalahgunaan dadah terbukti sukar, namun PDRM cekal dalam menguatkuasakan undang-undang.

"Kami (PDRM) menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, agensi penguat kuasa undang-undang antarabangsa dan pakar akademi.

"Kerjasama ini membolehkan perkongsian maklumat, perkembangan kapasiti dan koordinasi dalam kerjasama bagi membanteras jenayah siber," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah di Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024, di sini, hari ini.

Menurutnya, menerusi seminar itu, agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini dan antarabangsa dapat berkongsi pendapat bagi menangani jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan dadah.

Katanya, perkembangan pesat teknologi dan ketercapaian akses internet secara global menjadikannya satu ancaman baharu bagi agensi penguat kuasa.

"Jenayah siber dan penyalahgunaan bahan psikosis baharu (NPS) memberikan cabaran kepada masyarakat kini berikutan impaknya yang serius terhadap pembangunan sosial dan ekonomi.

"Perkembangan pesat kemudahan teknologi maklumat malangnya mempertingkatkan lagi kes jenayah siber dan penyalahgunaan NPS di peringkat global," katanya.

Ayob Khan berkata, PDRM menganjurkan kempen kesedaran dan advokasi secara berterusan bagi mendidik masyarakat mengenai risiko dunia siber dan pelaporan jenayah siber.

Katanya, PDRM bertekad meningkatkan keupayaan siasatan bagi membanteras jenayah siber dan penyalahgunaan bahan di Malaysia.

"Melalui kesedaran, masyarakat diperkasakan untuk melindungi diri mereka dan secara tidak langsung menyumbang kepada dunia siber lebih selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 12:46 PM