GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr. Muzaffar Syah Mallow

PENULARAN penyakit koronavirus baharu atau Covid-19 banyak merubah tatacara kehidupan ramai pihak.

Bagi mengelakkan terkena jangkitan Covid-19, banyak negara termasuk Malaysia mengeluarkan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penyebarannya.

Perintah kawalan pergerakan ini sekali gus menyebabkan orang ramai tidak dapat melakukan tugas harian mereka seperti biasa sebelum ini.

Ramai antara kita disarankan melakukan kerja dari rumah, belajar dari rumah serta menggunakan segala jenis kemudahan aplikasi teknologi moden melalui penggunaan komputer ataupun telefon pintar bagi melakukan sebarang jenis aktiviti harian.

Dari satu sudut kemunculan aplikasi teknologi moden ini memudahkan urusan dan kehidupan orang ramai terutama ketika sedang menghadapi masalah Covid-19 serta perintah kawalan pergerakan yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.

Melalui aplikasi teknologi moden ini, orang ramai tidak perlu keluar rumah serta bergerak ke sana sini sehingga boleh mendedahkan diri mereka kepada risiko bahaya jangkitan.

Segala–galanya boleh dilakukan di hujung jari di rumah. Ini menjadikan kemudahan aplikasi teknologi moden ini satu keperluan utama untuk semua pihak ketika ini.

Namun dalam menggunakan segala kemudahan aplikasi teknologi moden ini, setiap daripada kita perlu berhati–hati kerana walaupun ia boleh memberi kemudahan kepada urusan dan kehidupan harian kita, ia juga boleh mendedahkan diri kita menjadi mangsa kepada kegiatan jenayah daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Adalah menjadi kerisauan di kala semua orang terpaksa menggunakan Internet ketika ini, muncul pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan jenayah siber.

Jenayah siber adalah jenayah yang amat luas bentuknya iaitu meliputi penggodam simpanan maklumat dalam komputer, pencurian butir maklumat peribadi untuk tujuan penipuan pencurian wang, penyebaran fitnah ataupun dakyah, propaganda penularan virus dan lain-lain.

Komunikasi melalui ruang siber ini menjadi begitu popular pada zaman ini kerana ia memudahkan dan lebih pantas.

Penggunaan Internet yang meluas pada zaman ini membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada penjenayah melakukan jenayah siber.

Jenayah siber banyak meninggalkan kesan buruk dan baik kepada diri mangsa yang terlibat, kepada syarikat, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Antara jenayah siber yang paling popular berlaku dalam negara kita melibatkan jenayah penipuan wang secara dalam talian. Antara jenis penipuan jenayah wang secara dalam talian ini adalah penipuan phishing.

Penipuan phishing adalah berdasarkan kepada komunikasi yang dilakukan melalui hantaran e-mel atau melalui media sosial.

Melalui jenayah ini penjenayah akan menghantar e-mel kepada mangsa dan cuba menipu mangsa memberi butiran log masuk ke akaun bank, rangkaian sosial, akaun kerja, storan cloud atau lain-lain butiran peribadi milik mangsa kepada penjenayah.

Hantaran e-mel ini kelihatan seolah–olahnya ia datang daripada sumber rasmi namun hakikatnya bukan.

Di dalam e-mel tersebut penjenayah memberikan satu pautan atau link di mana apabila mangsa menekan atau mengaksesnya ia kelihatan seperti laman web benar dan meyakinkan tetapi sebenarnya ia dikawalselia oleh penjenayah siber.

Terdapat juga penipuan berbentuk money laundering ataupun sering kali digelar sebagai Nigerian letter.

Penipuan jenis ini berupa e-mel dihantar oleh penjenayah yang sedaya upaya memujuk rayu meminta bantuan mangsa mengeluarkan sejumlah besar wang milik mangsa daripada bank untuk membayar yuran pendahuluan untuk penyediaan proses dokumen atau untuk pengurusan hal tertentu penjenayah terbabit.

Sebagai balasan penjenayah menjanjikan mangsa jumlah wang yang besar sebagai penghargaan di atas bantuan yang diberikan mangsa setelah segala masalah mereka selesai.

Namun, setelah mangsa menghulurkan bantuan, individu berkenaan akan menghilangkan diri bersama wang bantuan diberikan oleh mangsa.

Terdapat juga penipuan membabitkan pinjaman bank ataupun kad kredit dengan penjenayah akan menggunakan segala kemudahan aplikasi teknologi moden pada masa kini menyamar dan menghantar jemputan kepada orang ramai melakukan proses pinjaman.

Ketika orang ramai menghadapi masalah kewangan, ramai yang tertipu dengan tawaran dilakukan penjenayah ini.

Terdapat juga penjenayah menyamar sebagai penguat kuasa tertentu.

Penjenayah ini akan menghubungi mangsa melalui telefon serta meminta mangsa memberi sejumlah wang kepada mereka dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap diri mangsa. Mangsa yang takut dan panik akhirnya memindahkan wang mereka kepada penjenayah ini.

Oleh yang demikian adalah penting semua pihak mengambil serius terhadap isu jenayah siber ini serta berwaspada dengan aktiviti jenayah ini.

Setiap maklumat diterima harus disiasat dengan lebih teliti. Sekiranya ada pihak yang menjadi mangsa kepada jenayah siber hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti pihak polis dengan segera.

Jenayah siber adalah salah satu kesalahan jenayah berat. Penjenayah siber boleh didakwa dan dihukum di bawah beberapa peruntukan undang–undang dalam negara kita seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Tandatangan Digital 1997 (Akta 562) atau lain-lain lagi.

>>Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 6:00 AM