GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Rejimen Sempadan (RS) yang hilang di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang, masih gagal mengesan Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim selepas pencarian memasuki hari kesepuluh, hari ini.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencarian menggunakan kaedah 'air search dan ground search' di sekitar kawasan Ulu Mendalam di Limbang.

Menurut kenyataan itu, pencarian turut dibantu oleh anggota dari 'Combat Air Rescue' Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik TUDM, helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM.

Ops SAR dipergiatkan lagi dengan bantuan unit anjing pengesan K9 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM serta anggota JUPEM yang sedang melaksanakan Op UKUR.

Manakala di sektor Brunei Darussalam, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian.

Muhammad Syafiq Hilmi dari Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu dilaporkan hilang ketika melaksanakan Op Ukur di Limbang JUPEM pada 18 Jun lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak TDM kekal komited dan konsisten dalam operasi ini dan berharap orang ramai bersama-sama mendoakan anggota berkenaan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:49 PM