ANGGOTA RS bersama anggota RAA bergambar sebelum  latihan bilateral menerusi Eksesais Haringarroo Siri 69/2018.
ANGGOTA RS bersama anggota RAA bergambar sebelum latihan bilateral menerusi Eksesais Haringarroo Siri 69/2018.
Mohamed Sahidi Yusof

Tanah Merah: Rejimen Sempadan (RS) Markas 30 Briged buat julung kalinya menjalani latihan bersama Tentera Diraja Australia (RAA) menerusi Eksesais Haringarroo Siri 69/2018.

Ia satu pengiktirafan kepada RS untuk terus unggul dalam pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) walaupun usia penubuhannya baru menjangkau 10 tahun.

Panglima 30 Briged, Brig Jen Hashim Aman Shah, berkata, sebelum ini RS banyak melaksanakan latihan bilateral bersama tentera Thailand.

“Kita tidak mempunyai masalah terbabit dalam Eksesais Haringarroo Siri 69/2018 ini kerana cukup berpengalaman dan setanding infantri lain dalam TDM.

“Malah kita juga percaya peluang diberikan itu tidak terhenti setakat ini dan mengharapkan akan berterusan pada siri akan datang,” katanya selepas majlis pembukaan latihan berkenaan di Batalion 1 RS Kem Batu Sebelas, di sini, semalam.

 HASHIM (tengah) mencuba senjata daripada RAA.
HASHIM (tengah) mencuba senjata daripada RAA.

Turut hadir, Komandan Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu RAA, Tim Innes.

Latihan itu membabitkan 25 pegawai bersama 380 anggota RS, manakala enam pegawai bersama 107 anggota RAA bagi tempoh selama dua minggu.

Hashim berkata, latihan itu membabitkan empat fasa dengan tumpuan terhadap operasi di sekitar hutan air terjun tertinggi di Asia iaitu Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai.

“Selain itu kita juga menumpukan aktiviti meningkatkan keserasian antara TDM dan RAA dalam merancang, mengendalikan dan mengawal operasi ketenteraan,” katanya.

ANGGOTA RAA menunjukkan cara menggunakan senjata.
ANGGOTA RAA menunjukkan cara menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 9:34 AM