GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Safuri Kamarudin


Baling: Keluarga Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang ketika bertugas dalam Op UKUR di Limbang, Sarawak, menyerahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengesan semula anggota terbabit.

Bapanya yang hanya dikenali sebagai Abd Halim, 50-an, berkata keluarganya hanya mengetahui kehilangan Muhammad Syafiq selepas dimaklumkan ATM.

Katanya, beliau dimaklumkan usaha mengesan Muhammad Syafiq sedang dilakukan dan tidak boleh memberi sebarang maklumat lanjut.

"Saya harap media pun faham, kita serah pada pihak bertanggung jawab menguruskannya kerana anak saya hilang ketika bertugas di sana.

"Saya minta maaf tak boleh beri apa-apa kenyataan, kami cuma harap dia dijumpai dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya di pekan Kuala Pegang di sini, hari ini.

Semalam, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, seorang anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, hilang ketika bertugas dalam Op UKUR di Limbang, Sarawak.

Anggota berkenaan, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim disedari hilang kira-kira jam 12 tengah hari pada 18 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:01 PM