Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Markas Briged Ke-31 Infantri Malaysia, Rejimen Sempadan (RS) yang kini berpangkalan di Kem Junaco, Sibu dijangka dipindahkan ke Bintulu, Jun depan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, pemindahan markas briged berkenaan selaras dengan keperluan penugasan pasukan infantri termuda di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) itu.

Selain itu katanya, Sibu sudah mempunyai menempatkan satu lagi pangkalan briged iaitu Markas 9 Briged Infantri.

"Sebab itu, usaha sedang dilaksanakan bagi memindahkan Markas Briged Ke-31 Infantri Malaysia ke Bintulu dan untuk jangka pendek, kita akan menyewa bangunan di Bintulu untuk dijadikan markas pemerintahan.

"Rumah keluarga bagi menempatkan anggota yang sudah berkahwin juga sedang kita usahakan," katanya pada sidang media selepas Perbarisan Pemakaian Pangkat Anggota RS di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Hassan Embong serta Pengerusi RS, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail.

Seramai 201 anggota Briged 31 RS dinaikkan pangkat pada majlis berkenaan manakala 28 anggota lagi dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara.

Mengulas lanjut, Zamrose berkata, perbarisan itu adalah kesinambungan upacara Pengisytiharan Pengukuhan Batalion RS sebagai Batalion Infantri Standard (BIS) yang dilaksanakan di Markas 30 Briged Infantri di Kem Bukit Cowder, Perlis pada 11 Ogos lalu.

Menurutnya, pada awal penubuhan RS kira-kira 15 tahun yang lalu, anggota pasukan berkenaan diserap daripada anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah dan hanya bertanggungjawab sebagai pasukan pelapis kepada unit infantri utama seperti Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Namun dengan pengisytiharan sebagai BIS, RS kini setaraf dengan RAMD dan RRD yang melaksanakan tugas serupa termasuk operasi tertentu.

"Sekarang kita memberi tanggungjawab sepenuhnya Op Jaga Kawan kepada RS manakala Ops Keris Parang masih dilaksanakan oleh RAMD dan RRD serta unit bantuan infantri lain.

"Terdapat empat batalion RS di bawah Briged Ke-31 Infantri Malaysia iaitu Batalion 7, Batalion 7, Batalion 9 serta Batalion 10 serta penugasan Op Jaga Kawan dilaksanakan secara bergilir oleh empat Batalion itu," katanya.

Mengenai situasi keselamatan di Sabah dan Sarawak, Zamrose berkata, keadaan di dua wilayah itu terkawal dengan tiada ancaman yang mampu menggugat keselamatan negara dikesan.

"Kita sentiasa bersiap sedia dengan mengikuti perkembangan semasa geo-strategik wilayah ini dan kita juga bersedia sebilang masa.

"Kawalan sempadan Malaysia-Indonesia khususnya di Sarawak kini dipertingkatkan dengan pengoperasian empat pos kawalan baharu manakala tiga lagi sedang dalam pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 1:40 PM