PESAWAT TUDM menghantar anggota TDM bagi mengukuhkan kawalan sempadan Malaysia-Indonesia dalam usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO IHSAN TUDM
PESAWAT TUDM menghantar anggota TDM bagi mengukuhkan kawalan sempadan Malaysia-Indonesia dalam usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO IHSAN TUDM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar asetnya bagi membantu menggerakkan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terbabit dalam operasi mengawal sempadan Malaysia-Indonesia, di sini.

Dalam kenyataan di laman sosial Facebook, TUDM memaklumkan pesawat pengangkut CN235-220M dari Pangkalan Udara Kuching menghantar anggota Batalion Ke-20, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Miri dan Batalion 7, Rejimem Sempadan dari Bintulu.

Menurutnya, anggota TDM itu dihantar ke lokasi yang dikenal pasti di sempadan bagi mengukuhkan kawalan untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Anggota TDM terbabit dalam operasi sedia ada di kawasan sempadan iaitu Op Jagakawan dan Op Benteng yang diperkasakan bagi mengekang pencerobohan Pati.

"Ia sekali gus bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang dikhuatiri merebak menerusi aktiviti rentas sempadan," katanya.

Katanya, operasi penghantaran anggota itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Semua anggota yang menaiki pesawat diambil suhu badan dan diwajibkan memakai pelitup muka, manakala kru dilengkapi peralatan perlindungan peribadi (PPE) sepanjang penerbangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 8:59 PM