GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, Sarawak hilang ketika bertugas di Limbang bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) Sarawak.

Sel Perhubung Raya Tentera Darat (TDM) dalam kenyataan berkata, anggota berkenaan Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim didapati hilang ketika menyertai Op Ukur.

"Op Ukur adalah operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan, yang membabitkan penempatan anggota TDM sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan Jupem yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang bermula 11 Jun hingga 2 September 2024.

"Ketiadaan anggota dikesan pada Selasa lalu kira-kira 12 tengahari, ketika ketua kumpulan mendapati anggota tiada di posisi belakang kumpulan.

"Kejadian berlaku pada kedudukan 2km di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600," katanya.

Menurutnya, usaha pencarian dipergiatkan oleh TDM bermula Rabu lalu di kawasan berkenaan dengan membabitkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga mengatur gerak aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM.

"Diharapkan anggota berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian ini serta menjaga perasaan waris anggota yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:15 PM