IR Abas berucap pada sidang media Laporan Kemampanan Air Selangor 2023, hari ini. FOTO Bernama
IR Abas berucap pada sidang media Laporan Kemampanan Air Selangor 2023, hari ini. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memberi jaminan margin rizab dan bekalan air kepada 9.3 juta penggunanya tidak akan terjejas dengan permintaan tinggi daripada pusat data syarikat gergasi teknologi maklumat yang bakal dibina di sekitar Lembah Klang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah mengakui, pihaknya menerima permohonan daripada beberapa gergasi yang mahu membina pusat data di Bukit Jalil, Setia Alam dan Cyberjaya.

"Berdasarkan unjuran, kami memenuhi permintaan air dan menyediakan rizab air sekurang-kurangnya 20 peratus.

"Jadi untuk Air Selangor kita perlu bersedia apabila kerajaan persekutuan dan Selangor 'spin off catalyst'.

"Setakat ini, kita telah menerima permohonan permintaan air untuk pusat data dan kami boleh menyediakan perkhidmatan ini kepada pusat data tanpa menjejaskan pemberian sumber kepada orang ramai," katanya pada sidang media selepas membentangkan Laporan Kelestarian 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada permintaan air pusat data gergasi teknologi maklumat akan menjejaskan pengguna Air Selangor di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Abas berkata, pihaknya juga menyasarkan meningkatkan margin rizab air antara 17 hingga 20 peratus.

"Peningkatan margin rizab air terutama Selangor penting kerana negeri ini penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di Malaysia maka Air Selangor perlu bersedia meningkatkan margin dari semasa ke semasa.

"Tahun 2023, margin rizab air meningkat kepada 15.34 peratus berbanding 12.02 peratus pada 2022.

"Kita tidak berhenti di situ kerana kita ada perancangan membina Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau Fasa Kedua, Labuhan Dagang Fasa Kedua dan Langat Dua Fasa Kedua yang dijangka siap pada 2030 sekali gus akan meningkatkan margin antara 17 hingga 20 peratus," katanya.

Mengulas lanjut Abas berkata, pihaknya kini dalam fasa melaksanakan pembinaan loji baharu Sungai Rasau membabitkan dua peringkat.

"Loji ini akan memberi manfaat kepada wilayah Klang yang buat masa ini hanya dpt bekalan air sumber utamanya daripada skim Sungai Selangor.

"Jadi dengan adanya skim bekalan air Sungai Rasau, maka wilayah Klang akan dapat sumber air utama ini sekali gus akan mengurangkan risiko kepada kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:14 PM