Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Enam negeri merekodkan rizab air terawat yang rendah berbanding kapasiti yang ditetapkan Majlis Air Negara (MAN) 10 hingga 15 peratus.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk (KASA) Dr Ahmad Masrizal Mohamad berkata, antara negeri berkenaan adalah Johor sebanyak 11.3 peratus, Sabah (8.3 peratus), Perlis (7.1 peratus), Selangor (1.5 peratus), Kelantan (-0.2 peratus) dan Kedah (-2.3 peratus).

Menurutnya, bagi beberapa negeri seperti Selangor, Kelantan dan Kedah rizab air terawat dijangka akan dapat ditingkatkan sebaik loji rawatan air baharu dibina untuk tempoh antara tahun depan hingga 2023.

"Bagi konteks Selangor, sekiranya Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa Satu yang dijangka siap dibina pada 2023 mampu meningkatkan kapasiti rizab air terawat sebanyak 10 peratus.

"Pembinaan Loji Rawatan Air di Kampung Telok di Kelantan juga dijangka mampu meningkatkan rizab air terawat sebanyak empat peratus.

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. FOTO Arkib NSTP
LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. FOTO Arkib NSTP

"Manakala di Kedah terdapat lima loji rawatan air yang sudah diluluskan pembinaannya mampu meningkatkan rizab air terawat sebanyak 21 peratus," katanya Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang mahu mendapatkan penjelasan Kementerian Alam Sekitar dan Air apakah inisiatif mengatasi isu margin rizab air terawat negara yang kini berada pada tahap rendah dan apakah perancangan jangka panjang bagi menambah punca air.

Ahmad Masrizal berkata, kementerian juga mempunyai beberapa inisiatif untuk meningkatkan rizab air terawat negara antaranya membina lebih banyak loji rawatan air baharu selain menaik taraf loji rawatan air sedia ada.

Selain itu, beliau berkata, kementerian juga mewujudkan program mengurangkan kadar air tak terhasil (NRW) dengan penggantian paip usang dan tangki perkhidmatan yang rosak.

"Kementerian juga memberi tumpuan kepada pengurusan permintaan air terhadap produk cekap air selain penerokaan sumber air baharu dan alternatif kecekapan penggunaan air untuk semua sektor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 1:48 PM