FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyerahkan projek pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) Fasa 1 dan Fasa 2A kepada kerajaan Pulau Pinang.

Projek Fasa 1 membabitkan pembesaran empangan itu disiapkan pada 10 April 2017, manakala projek Fasa 2A iaitu menaik taraf Rumah Pam Mak Sulong pula siap pada 28 September 2017.

Ia dimulakan pada 2011 melalui peruntukan secara langsung kerajaan pusat berjumlah RM1.2 bilion membabitkan empat fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 2C.

Projek Fasa 2B membabitkan penyaluran air mentah dari Stesen Pam Mak Sulong ke terusan Sungai Dua kini dalam peringkat akhir pengambilalihan tanah, manakala Fasa 2C membabitkan pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi pula dalam peringkat kajian semula oleh perunding.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dua fasa projek yang diserahkan kepada kerajaan negeri itu menyediakan sumber air tambahan dalam memastikan jaminan bekalan air secara berterusan kepada penduduk Pulau Pinang yang kini mencapai kadar liputan 100 peratus.

"Ia juga dapat meningkatkan kadar rizab margin air terawat Pulau Pinang ke satu paras yang selesa sekiranya operasi loji rawatan air dihenti tugas atas faktor-faktor seperti pencemaran sumber air, peningkatan permintaan secara mendadak, gangguan tidak berjadual dan sebagainya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 6.9 juta meter padu air mentah dilepaskan dari Empangan Mengkuang bagi menampung keperluan air kepada penduduk Pulau Pinang akibat cuaca kering yang melanda Utara Semenanjung.

"Pada 2019, Pulau Pinang merekodkan kadar rizab margin air terawat sebanyak 32 peratus. Kerajaan Persekutuan juga melaburkan hampir RM3 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi pelaksanaan pelbagai projek bekalan air, sumber air dan tebatan banjir serta perkhidmatan pembetungan di Pulau Pinang.

"Di bawah Rolling Plan 4 Tahun 2020, peruntukan berjumlah RM45.9 juta diluluskan untuk melaksanakan 17 projek sumber air, bekalan air, dan perkhidmatan pembetungan," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya turut menghargai usaha kerajaan negeri Kedah kerana menjaga kawasan tadahan air Ulu Muda yang menjadi sumber air utama kepada Sungai Muda.

"Sungai Muda membekalkan air mentah utama kepada loji rawatan air Sungai Dua yang menyumbang 80 peratus bekalan air bersih kepada penduduk Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 6:48 PM