Ir Abas Abdullah berucap pada Sidang Media Laporan Kemampanan Air Selangor 2023 di ibu kota hari ini.  FOTO BERNAMA
Ir Abas Abdullah berucap pada Sidang Media Laporan Kemampanan Air Selangor 2023 di ibu kota hari ini. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penyedia perkhidmatan air terbesar Malaysia, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), mencatatkan pendapatan RM2.82 billion tahun lalu, meningkat 15.1 peratus berbanding RM2.45 billion yang direkodkan pada 2022.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, Air Selangor akan terus melabur dalam pengurusan serta pentadbiran bekalan air dalam jangka masa panjang untuk 9.3 juta penggunanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di mana pelarasan tarif bersesuaian dan holistik dapat memastikan peningkatan kualiti perkidmatan secara berterusan.

"Air Selangor mencatatkan RM560 juta perbelanjaan modal (Capex) pada 2023 berbanding RM2.68 bilion pada tahun sebelumnya di mana sebahagian besar telah dibelanjakan untuk projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 pada tahun 2022 (RM1.97 bilion).

"Selepas dilaraskan bagi 2023, terdapat peningkatan 18.8 peratus dalam perbelanjaan Capex berbanding RM467.99 juta pada 2022 (tidak termasuk Rasau)," katanya semasa membentangkan Laporan Kelestarian 2023 di sini, hari ini.

Sehingga 31 Disember 2023, beliau berkata, Air Selangor melaksanakan enam penerbitan Sukuk Kelestarian, dengan jumlah keseluruhan RM3.13 bilion sejak penerbitan pertama pada 29 Oktober 2021.

"Sukuk Kelestarian ini diperuntukkan bagi melaksanakan projek berkaitan bekalan air, pengurusan air lestari dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui.

"Ini termasuk pembangunan kemudahan rawatan air baharu, penyenggaraan kemudahan sedia ada, program penggantian paip dan projek Tenaga Boleh Diperbaharui untuk Air (RENEW)," katanya.

Abas berkata, pihaknya juga meraih pelbagai pencapaian melalui inisiatif kelestarian sepanjang tahun lalu selaras dengan aspirasi Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.

"Purata margin rizab air meningkat secara ketara sebanyak 15.34 peratus berbanding 12.02 peratus pada 2022, berikutan bekalan tambahan 275 juta liter sehari (JLH) dari Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 Koridor Barat bermula 27 Ogos 2023 serta kapasiti agihan tambahan 250 JLH oleh LRA Sg Rasa bermula November 2023 dan dijangka meningkat kepada 17.70 peratus menjelang 2030.

"Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang lebih rendah pada 27.75, penurunan sebanyak 0.01 peratus daripada 2022 serta pematuhan Standard Kualiti Air Minuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 99.93 peratus manakala pematuhan Program Jaminan Kualiti (QAP) adalah 100 peratus.

"Selain itu, kapasiti untuk menghasilkan bekalan air mencapai 5,227 JLH, peningkatan 110 JLH berbanding 2022," katanya.

Dari aspek program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), menurutnya, sebanyak RM437,737 sumbangan disalurkan bagi membantu lebih 1,700 keluarga, individu dan rumah kebajikan melalui Sesama Mara.

"Seramai 285,673 penerima manfaat Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan golongan kurang bernasib baik diberikan akses kepada air terawat yang bersih dan selamat, dengan kos lebih RM30 juta ditanggung oleh kerajaan Negeri Selangor setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:23 PM