GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) yang terganggu akibat kekeruhan air mentah tinggi berpunca daripada aliran kepala air di Sungai Kerling, awal pagi ini, kembali pulih.

Ia membabitkan LRA Rantau Panjang; Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Semua loji berkenaan beroperasi sepenuhnya dengan kadar pengeluaran air terawat kembali normal secara berperingkat mulai 8.30 pagi.

Sehubungan itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, pengguna akan menerima bekalan air seperti biasa secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air distabilkan.

"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada pengguna bermula jam 12 tengah hari selepas sistem bekalan air distabilkan.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Kawasan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur dijadualkan pulih pada 12 tengah hari, esok (14 Ogos) manakala kawasan sebahagian lagi Klang akan pulih 12 tengah hari, 15 Ogos ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor berkata, pihaknya akan terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terjejas dan waktu pemulihan di laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual boleh didapati dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 12:23 PM