Muhammad Fadzli Roslan (tengah) ditemui media berkaitan insiden sabotaj bahan kempen Pakatan Harapan di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan. FOTO MIKAIL ONG
Muhammad Fadzli Roslan (tengah) ditemui media berkaitan insiden sabotaj bahan kempen Pakatan Harapan di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang hari ini mendakwa sejumlah 38 gegantung dan 53 bendera Pakatan Harapan (PH) yang dipasang di Kawasan Jentera Daerah Mengundi (JDM), Puteri Gunung di sini dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

Ketuanya, Muhammad Fadzli Roslan, berkata insiden yang dipercayai mempunyai unsur sabotaj itu dikesan pada jam 12.30 tengah malam tadi dengan ada di antara bendera terbabit seolah-olah ditarik dan diturunkan selain ada dibuang ke dalam longkang.

Beliau mendakwa, sebelum kejadian pihaknya mendapati beberapa individu berpakaian awam sedang memasang bendera Perikatan Nasional (PN) di kawasan sekitar persimpangan Bandar Tasek Mutiara.

"Kita nampak ada kesan daripada tarikan bendera yang dipasang itu malah ada bendera yang dicabut daripada tempatnya dan diletak di bawah. Ada yang dibuang dalam longkang dan ada (batang bendera) dipatahkan.

"Kalau disebabkan cuaca, malam tadi tiada hujan dan pada jam sekitar 10 malam kita buat rondaan, keadaan masih baik tetapi rondaan kali kedua mendapati 'bunting' (gegantung) kita telah jatuh dan ada bendera dirosakkan," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) di sini, hari ini.

Pengarah Pilihan Raya AMK itu percaya perbuatan khianat sedemikian tidak seharusnya berlaku dan pihaknya menyerahkan sepenuhya perkara itu termasuk segala bukti bergambar kepada polis untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang memasuki hari keenam, hari ini sepatutnya berlangsung dalam suasana persaingan sihat dan tidak seharusnya dicemari insiden sedemikian.

"Kita tidak mahu buat penilaian awal kepada mana-mana pihak yang melakukan provokasi tersebut namun dalam kita menghadapi kempen (PRK Sungai Bakap) kita tidak mahu kempen dilaksanakan secara tidak sihat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lalu hingga 11.59 malam, 5 Julai dan 6 Julai ini sebagai hari mengundi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 5:10 PM