Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Senior Asisten Komisioner W Puspanathan (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan. FOTO Nur Izzati Mohamad
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Senior Asisten Komisioner W Puspanathan (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Polis Pulau Pinang meminta semua ahli politik termasuk penyokong terus bersikap baik dan mematuhi peraturan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang berbaki kurang 11 hari lagi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Senior Asisten Komisioner W Puspanathan, berkata setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kekecohan dan kesalahan mahupun isu menyentuh agama, bangsa dan Institusi Diraja (3R) yang dimainkan daripada kedua-dua parti yang bertanding.

Beliau berkata, pihaknya percaya ia adalah disebabkan kematangan ahli politik yang lebih baik sama seperti yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Setakat ini, laporan berkaitan (pelanggaran peraturan, kekecohan) isu kempen masih kosong, keadaan sama macam PRN lalu.

"Saya percaya (ini kerana) kematangan ahli politik lebih baik dan kita minta semua teruskan sikap baik (ini) tanpa memberi ancaman (terhadap keselamatan awam)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan kempen hari keempat PRK Sungai Bakap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga jurucakap polis bagi PRK Sungai Bakap berkata, polis mengeluarkan 17 permit membabitkan 10 daripada Pakatan Harapan (PH) dan tujuh daripada Perikatan Nasional (PN).

"Tiada sebarang permohonan permit ditolak dan kita memuji (kedua-dua parti bertanding) menjalankan kempen dengan beretika dan tidak menimbulkan sebarang masalah termasuk tidak merosakkan banner (kain rentang), bendera parti dan sebagainya.

"Jika kerjasama (sikap) ini diteruskan sehingga hari pengundian (6 Julai ini) tidak akan ada masalah dan pasti rakyat tidak takut untuk keluar mengundi," katanya.

Jelasnya, hampir 600 polis bertugas dalam membuat pemantauan rapi termasuk lalu lintas bagi memastikan kelancaran kempen termasuk hari mengundi nanti.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr Joohari Ariffin dan PN yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 5:26 PM