CHANG Lih Kang menyampaikan ucapan pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap di Padang Taman Puteri Gunung, Simpang Ampat. FOTO BERNAMA
CHANG Lih Kang menyampaikan ucapan pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap di Padang Taman Puteri Gunung, Simpang Ampat. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Nibong Tebal: Kerjasama parti-parti komponen bawah khemah Kerajaan Perpaduan sangat baik dan lebih erat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari ketiga semalam, berbanding sebelum ini.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata, kerjasama erat itu tercetus daripada pengalaman tujuh PRK sebelum ini dan berikutan itu tidak wujud sebarang masalah antara parti di bawah Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, ini juga antara kekuatan kempen Kerajaan Perpaduan dalam bergerak secara bersama sebagai jentera Perpaduan dalam misi memenangkan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

"Saya nampak BN pun bertungkus lumus, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pun bertungkus-lumus. Sekarang kita mempunyai kerjasama yang sangat erat.

"Jadi, kita strategise bersama dan mempunyai bilik gerakan bersama untuk PRK DUN Sungai Bakap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perpaduan PRK DUN Sungai Bakap di Padang Taman Puteri Gunong, Simpang Ampat di sini malam ini.

Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata rekod prestasi kerajaan negeri Pulau Pinang dan calon PH yang juga anak jati Sungai Bakap juga antara kekuatan bagi kempen Kerajaan Perpaduan dalam misi merampas kembali kerusi yang juga kubu kuat PKR sejak 2008 itu.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:51 AM