MERCU tanda ‘Sungai Bakap’ ketika tinjauan Pilihanraya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
MERCU tanda ‘Sungai Bakap’ ketika tinjauan Pilihanraya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Nibong Tebal: Polis meluluskan tiga permit ceramah pada hari kedua kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata kesemua permit itu diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Chong Boo Khim dan setakat ini tiada permohonan permit yang ditolak.

"Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes melibatkan PRK dan pihak polis sekali lagi menasihatkan semua pihak agar tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak sepanjang tempoh berkempen.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang termasuk melakukan khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen seperti banner, poster, bendera parti dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 4:44 PM