MALARVIZHI. FOTO Arkib NSTP
MALARVIZHI. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


“KOSONG, tak ada pun (derma dari orang ramai),” kata calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, R Malarvizhi, 51.

Menurut beliau, walaupun gagal meraih walaupun satu sen sumbangan dari rakyat pada kempen meraih undi dan sumbangan kempen minggu lalu, ia tidak melunturkan semangatnya untuk berkempen.

“Tak apa, saya tidak kisah jika mereka (rakyat) beri sumbangan atau tidak, kempen saya tetap berjalan seperti biasa.

“Saya sudah pun membuat gegantung dan kain rentang yang akan dipasang beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui pada kempen tinjauan mesra bersama pengundi di Bandar Sri Sendayan dekat Rembau, hari ini.

Pada kempen hari pertamanya 31 Mac lalu, suri rumah yang juga bekas penyampai radio di Toronto, Kanada berusia 51 tahun itu mengedarkan kad namanya yang turut tertera akaun bank miliknya bertujuan meraih sumbangan untuk kegunaan sepanjang kempen.

Dia menjelaskan mungkin memerlukan sekitar RM10,000 dan berharap orang ramai dapat menyumbang serta bersedia mengisytiharkan kepada umum jumlah kutipan kerana mahu bersikap jujur kepada rakyat.

Ditanya adakah dia akan meneruskan usaha untuk meraih sumbangan rakyat, Malarvizhi, ia tidak perlu kerana sudah memasuki fasa kedua kempen.

“Fasa pertama sudah habis, saya sudah edarkan 1,000 kad nama (memohon sumbangan) itu dan fasa kedua ini adalah untuk mengedarkan risalah manifesto pula,” katanya.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Oktober tahun lalu, calon Bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan turut melancarkan tabung khas yang merayu sumbangan RM1 seorang daripada orang ramai untuk kegunaannya membiayai kempen.

Tabung untuk kegunaan kempen seperti mencetak poster, bendera dan sebagainya itu berjaya mengutip RM525 dalam tempoh lima jam selepas dilancarkan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 3:02 PM