PARA artis dan selebriti terkenal tanah air menjayakan Program Permainan ‘Lima Liga’ bersama murid SMK Ayer Keroh, sempena dengan sambutan ulang tahun TV3 yang ke-40. FOTO Jamah Nasri
PARA artis dan selebriti terkenal tanah air menjayakan Program Permainan ‘Lima Liga’ bersama murid SMK Ayer Keroh, sempena dengan sambutan ulang tahun TV3 yang ke-40. FOTO Jamah Nasri
Amir Mamat


Ayer Keroh: Karnival Jom Heboh (KJH) yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-40 TV3 bermula hari ini, membuka tirainya melalui penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tonton Gen+Suai Kenal Sekolah.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh itu tadi, bertujuan mendekati dan berinteraksi dengan generasi muda menerusi pelbagai pengisian program termasuk diskusi khas bersama selebriti dan artis undangan.

Beberapa acara sukan rakyat mini turut diadakan bagi menambah keseronokan kepada lebih 200 pelajar Tingkatan Empat yang terpilih menyertai program itu.

Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, Farah Shamsudin, berkata program berkenaan diadakan bagi menggalakkan persekitaran interaktif serta meningkatkan pembabitan pelajar murid dengan komuniti.

Beliau berkata, pada masa sama juga ia dapat memberi peluang untuk golongan itu mengekspresikan kreativiti masing-masing dengan lebih berani.

"Pemilihan SMK Ayer Keroh sebagai lokasi CSR ini adalah tepat pada masanya apabila ramai pelajarnya membabitkan diri dalam aktiviti kewartawanan dan media. Ini secara tidak langsung membolehkan pihak Media Prima Berhad (MPB) sebagai konglomerat media terbesar negara berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang berkaitan.

"Di sekolah ini juga mempunyai studio sendiri dan kami amat berbangga dengan pencapaian mereka yang dilihat sangat berminat dalam media massa, kami mengalu-alukan generasi muda untuk berkecimpung dan belajar menjadi lebih kreatif dalam bidang ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau ditemui pada program berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Mohd Yusri Seman, serta Pengetua SMK Ayer Keroh, Tuah Ariffin.

Seramai 10 artis serta personaliti Rangkaian TV Media Prima menyertai program berkenaan iaitu Redza Rosli, Meerqeen, Puteri Khareeza, Amirulhakim Lokman, Irfan Ali, Fatin Hamimah Yusof, Shafiq Adnan, Saree Abdullah, Fahiz Ariff dan Shah Tapaw.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program itu berlangsung adalah sesi ramah mesra bersama selebriti, sesi perkongsian ilmu `Dari Buku Ke Layar Perak: Bagaimana Pendidikan Membentuk Selebriti' dan permainan `Lima Liga' bersama pelajar.

Sementara itu, Tuah berkata, kehadiran Kumpulan MPB ke sekolah itu dapat memberi pendedahan yang lebih jelas kepada pelajarnya dalam bidang penyiaran.

"Pelajar mendapat pendedahan khusus mengenai dunia penyiaran sebenar, apatah lagi sekumpulan pelajar SMK Ayer Keroh sebelum ini pernah dinobatkan sebagai pemenang bagi pertandingan Video Kreatif Wartawan Muda peringkat negeri.

"Ia sekali gus dapat dimanfaatkan oleh pelajar berkenaan untuk berkongsi ilmu dengan pihak lebih pakar dalam bidang itu terutama MPB," katanya yang turut berterima kasih kepada MPB atas pemilihan SMK Ayer Keroh sebagai tuan rumah program terbabit.

Bagi Fatin Hamimah yang juga personaliti TV3, beliau memuji keterujaan pelajar untuk mendalami ilmu kewartawanan dan pengacaraan.

"Kami membuat sesi perkongsian dalam kalangan barisan personaliti yang berpengalaman untuk kita kembangkan lagi bakat terpendam pelajar dalam bidang ini dan kami berbangga dapat sama-sama perturunkan ilmu kepada generasi masa hadapan ini," katanya.

Redza pula berkata, kehadirannya ke sekolah itu adalah untuk berkongsi ilmu serta mencungkil bakat pelajar dalam bidang lakonan.

"Saya lihat ada yang berpotensi untuk menjadi pelakon, namun banyak lagi perkara yang perlu dilalui. Saya sendiri mendedahkan kepada mereka supaya merebut apa saja peluang untuk menjadi seorang pelakon termasuk menyertai pelbagai bengkel serta kursus termasuk dalam bidang teater yang sudah pasti boleh mengasah bakat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 4:16 PM