Amir Mamat


Ayer Keroh: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menyambut baik hasrat kerajaan Melaka untuk menjadikan konglomerat media terbesar itu sebagai rakan media rasmi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Mohd Effendi Omar, berkata pihaknya menerima maklum balas positif menerusi perbincangan khas bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, hari ini.

"Ketua Menteri juga menyatakan minat untuk bekerjasama dengan MPB terutama dalam usaha mempromosikan TMM2024.

"Susulan pertemuan hari ini, beberapa siri perbincangan akan diadakan lagi selepas ini dan sudah pasti menjurus kepada kerjasama ini," katanya selepas menyertai kunjungan hormat pengurusan MPB di Seri Negeri, di sini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin.

Baru-baru ini, Ab Rauf mengumumkan MPB sebagai rakan media rasmi bagi promosi dan kempen TMM2024.

Pemilihan konglomerat media untuk mempromosikan sektor pelancongan itu bagi memastikan kempen berkenaan mencapai sasaran dalam menarik lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan tahun depan.

Sebanyak 64 program dan acara akan diadakan sehingga hujung tahun ini sebagai persiapan untuk merancakkan program TMM2024.

Sebanyak 13 daripadanya adalah acara pelancongan utama, antara acara utama sepanjang tahun ini adalah Melaka International Muaythai pada 29 hingga 30 Julai serta Karnival Beca Melaka 2023 pada 1 dan 2 September. Kedua-dua acara diadakan di Banda Hilir, di sini.

Ia diikuti Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar di Sungai Melaka pada 3 September dan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pada 29 September hingga 3 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 6:22 PM