Melaka: Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan menjadi acara pertama diatur pengurusan Media Prima Berhad (MPB) sempena Karnival Jom Heboh 2015 di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB Ahmad Izham Omar berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan diadakan di Masjid Ar-Rabbani, Kampung Tangga Batu Pekan di sini, kira-kira jam 8.30 pagi ini membabitkan semua anggota masyarakat serta anak yatim selain jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, program dimulakan dengan gotong-royong membersihkan masjid berkenaan yang dijalankan bersama penduduk, kakitangan MPB serta beberapa agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, aktiviti diteruskan dengan sesi ramah mesra bersama artis dan perasmian oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Tangga Batu Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, jam 3 petang.

“Kita juga mengatur beberapa acara peningkatan ilmu seperti Sesi Perkongsian Ilmu dan Motivasi bersama Finalis Da’i Musim Ke-2, sesi bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bengkel penjagaan gigi oleh Persatuan Doktor Gigi Malaysia serta sesi penerangan dan demonstrasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Selain itu, pada majlis sama juga akan berlangsung penyerahan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz Shah, Pantai Puteri,” katanya di sini, semalam.

Pada sebelah pagi, perlawanan persahabatan badminton antara kerajaan negeri dengan MPB akan berlangsung di Pusat Belia dan Sukan Stadium Hang Jebat yang disertai Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan isteri Datin Seri Fadilah Abdullah serta pengurusan kanan MPB.

Karnival Jom Heboh akan berlangsung hingga Ahad ini dengan menyaksikan lebih banyak aktiviti menarik berbentuk kekeluargaan disediakan kepada pengunjung termasuk pameran dan jualan serta penampilan personaliti MPB dan artis terkenal seperti Mior Abdul Malek Raiyani, Hazlin Hussain, Nik Munira, Fiza Sabjahan, Azmil, Tuah & Fahmie Mentor Legend, Ajai, Mas Idayu, Dayang Nurfaizah, Sarah Mentor, Nadeera, Aina serta One Nation Emcees di beberapa khemah yang disediakan TV3, TV9, 8TV, ntv7 dan Hot FM.

Perasmian karnival itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Koperasi negeri Datuk Wira Latiff Tamby Chik jam 8 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:57 AM