SEBAHAGIAN calon UPSR pada Program Tahlil dan Doa Selamat sempena peperiksaan anjuran Media Prima Berhad di Sekolah Kebangsaan Cherating.
SEBAHAGIAN calon UPSR pada Program Tahlil dan Doa Selamat sempena peperiksaan anjuran Media Prima Berhad di Sekolah Kebangsaan Cherating.
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Inisiatif Media Prima Berhad (MPB) membantu 120 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, di sini, membuat persediaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dapat meningkatkan taraf pendidikan di luar bandar.

Guru Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran SK Cherating Mazalina Mohamad berkata, sekolah itu beruntung dipilih sebagai sekolah angkat MPB sejak dua tahun lalu kerana mendapat pelbagai manfaat antaranya penajaan seminar pendidikan, kem motivasi dan peralatan pembelajaran.

Katanya, antara tajaan diperoleh sisipan akhbar Berita Harian (BH) iaitu DIDIK yang digunakan calon UPSR serta guru pada pembelajaran dalam bilik darjah dan ia banyak membantu meningkatkan tahap pengetahuan selain teknik menjawab soalan dengan betul.

“Turut diadakan Seminar Bimbingan Peperiksaan oleh Unit Pendidikan BH yang dikendalikan panel berpengalaman dan kelas bahasa Inggeris menerusi program bahagian Akhbar dalam Pendidikan (NIE) dianjurkan New Straits Times (NST).

“Malam ini (kelmarin) MPB bersama dengan sekolah menganjurkan program berbentuk keagamaan iaitu bacaan doa selamat dan solat hajat supaya calon UPSR SK Cherating memperoleh kejayaan pada peperiksaan itu,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Restu Ilmu dan Solat Hajat, di sini, kelmarin.

Bacaan doa selamat dan solat hajat diketuai Imam Masjid Cherating, Mustafa Yusof itu disertai lebih 200 orang terdiri daripada guru, ibu bapa dan murid sekolah berkenaan.

Mazalina berkata, pihaknya menghargai sumbangan MPB membantu calon UPSR dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan pada masa depan kerana manfaat besar diperoleh sekolah berkenaan.

“Ini kerana di sekitar Cherating tiada kelas tuisyen disediakan dan murid hanya bergantung kepada sekolah semata-mata bagi meningkatkan taraf pendidikan, apabila MPB tampil membantu ia dapat mengurangkan beban sekolah.

“Kita dapati inisiatif dan program pendidikan dikendalikan MPB banyak membantu SK Cherating, secara tidak langsung meningkatkan taraf pendidikan di luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 6:53 AM