ABDUL Aziz  (dua dari kanan) bersama buku sumbangan MPB kepada guru besar menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima bernilai RM410,000 di pejabat JPN Kelantan.
ABDUL Aziz (dua dari kanan) bersama buku sumbangan MPB kepada guru besar menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima bernilai RM410,000 di pejabat JPN Kelantan.

Kota Bharu: Media Prima Berhad (MPB) menerusi Tabung Bencana Kemanusiaan NSTP-Media Prima menghulurkan sumbangan buku bernilai RM384,000 kepada 32 pusat sumber sekolah di Kelantan yang terjejas teruk dalam bencana banjir Disember tahun lalu.

Pengarah Pendidikan Kelantan Abdul Aziz Abdullah berkata, sumbangan itu bertujuan menggantikan buku yang musnah ditenggelami banjir tahun lalu.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai dan badan korporat yang sudah menyumbang dalam Tabung Bencana NSTP-Media Prima ini sehingga membolehkan tabung ini dapat bantu mangsa banjir di negeri ini.

“Setiap sekolah akan menerima buku bernilai antara RM10,000 hingga RM12,000 bagi memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan buku di pejabat JPN, di sini, semalam.

Pada majlis itu, lebih 100 naskhah buku dengan pelbagai jenis kategori dibekalkan kepada pusat sumber sekolah.

Antara yang menerima sumbangan buku berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nal; SK Gua Musang; SK Ladang Kerilla; SK Lubuk Stol; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai; SMK Puteri; SMK Tok Uban dan SMUA Nurul Huda Kajang Sebidang.

Katanya, Pusat Sumber Sekolah (PSS) perlu menyediakan pelbagai buku rujukan bagi membantu pelajar, maka sumbangan ini diharap memanfaatkan pelajar.

Abdul Aziz berkata, daripada 241 sekolah yang dilanda banjir di seluruh negeri ini, sebanyak 165 sekolah mengalami rosak teruk apabila ia memerlukan tenaga kerja yang luar biasa dalam membaik pulih sekolah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Abd Aziz berkata, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM17.78 juta dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pembelian aset sekolah termasuk peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Kini, kita dalam proses menyenaraikan peralatan yang perlu dibeli terutamanya yang digunakan dalam bengkel, makmal serta teknologi dan komputer,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Dabong, Kuala Krai, Sazali Ibrahim berkata, beliau menganggap sumbangan buku itu bukan sekadar meringankan beban tapi membantu menghidupkan semula pusat sumber sekolah itu.

Katanya, berdasarkan perancangan asal, pihaknya merancang mewujudkan Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) pada awal Januari lalu, namun memandangkan situasi tidak mengizinkan, ia terpaksa diubah.

“Kebetulan pihak MPB menyumbangkan buku yang dapat menghidupkan semula pusat sumber kami.

“Dengan sumbangan pelbagai jenis buku ini, proses PdP dapat berjalan dengan lebih baik lagi dan program NILAM mampu diadakan selepas Aidilfitri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:04 AM