Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ilmu keselamatan dan mencegah kebakaran khususnya di pondok tahfiz dikongsikan anggota bomba antara pengisian bermakna dalam program jelajah Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda di Pondok Darul Muttaqin, di sini, hari ini.

Taklimat berkaitan aspek keselamatan disampaikan oleh Pegawai Bomba Kanan II, Jamian Salleh, manakala soal peralatan dan tugas anggota bomba oleh Penguasa Bomba Zulkahirani Ramli bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Antara aspek keselamatan disentuh termasuk penggunaan satu soket untuk banyak sambungan yang boleh mencetus kebakaran serta laluan keluar masuk asrama atau yang terhalang oleh objek tertentu.

Keterujaan jelas terpancar pada wajah pelajar pondok yang tekun mendengar penerangan diberikan pegawai terbabit tambahan pula mereka berpeluang memegang peralatan dan memakai pakaian memadam kebakaran.

Pengarah Bomba negeri, Abu Bakar Katain berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) dalam program ini dan berharap diteruskan pada masa depan.

"Program ini bukan saja memberi faedah kepada jabatan, malah memberi impak kepada pelajar melalui taklimat keselamatan kebakaran, pencegahan kebakaran, mengenali tugas bomba dan peralatan digunakan jabatan dalam penyelamatan dan memadam kebakaran.

"Perkongsian ilmu dengan pelajar tahfiz ini diharap memberi inspirasi kepada pelajar dalam mengambil langkah terbaik mencegah kebakaran.

"Kita faham sekolah tahfiz mempunyai risiko kebakaran yang tinggi dan masa lalu banyak kebakaran membabitkan sekolah pondok yang membabitkan kehilangan nyawa dan harta benda," katanya sambil berharap ilmu dikongsikan dimanfaatkan.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri amat mengalu-alukan kerjasama sebegini dalam menjayakan visi jabatan untuk menerapkan budaya keselamatan kebakaran.

"Ini satu ruang yang sangat baik sebab kami bukan saja fokus kepada kerja pemadaman dan penyelamatan, malah program tanggungjawab sosial penting untuk bersama masyarakat," katanya.

Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng dan BBP Ayer Keroh menjayakan program bersama-sama 25 kru termasuk gotong-royong membersihkan persekitaran serta memasak nasi briyani dan gulai kari kambing untuk berbuka puasa bersama 70 orang warga pondok berkenaan.

Skuad turut mengagihkan set kelengkapan solat, tongkat dan pakej set iftar iaitu sumbangan minuman isotonik, 10 unit kotak rezeki yang mengandungi makanan kering untuk kegunaan sepanjang bulan puasa ini.

Program kali ini diserikan dengan kehadiran pelakon, Azrel Ismail dan penyanyi, Tajul Arif yang turut menyertai aktiviti diadakan serta maskot Ejen Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 10:16 PM
Anggota Bomba dan Penyelamat mempamerkan peralatan yang digunakan untuk tujuan kerja-kerja menyelamat pada pelajar-pelajar dan Skuad Seindah Kasih MediaPrima sempena Program MediaPrima Seindah Kasih di Pondok Darul Muttaqin, Paya Rumput, Melaka. FOTO JAMAH NASRI
Anggota Bomba dan Penyelamat mempamerkan peralatan yang digunakan untuk tujuan kerja-kerja menyelamat pada pelajar-pelajar dan Skuad Seindah Kasih MediaPrima sempena Program MediaPrima Seindah Kasih di Pondok Darul Muttaqin, Paya Rumput, Melaka. FOTO JAMAH NASRI