FAISAL melambai ke arah penonton pada perlawanan Piala FA, Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. FOTO Aizuddin Saad
FAISAL melambai ke arah penonton pada perlawanan Piala FA, Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. FOTO Aizuddin Saad
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Pemimpin muda daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) senada menyeru siasatan menyeluruh dan telus perlu dilakukan terhadap keganasan membabitkan atlet-atlet negara.

Dalam satu kenyataan bersama, wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang itu berkata keganasan perlu ditangani menerusi penguatkuasaan undang-undang yang tegas, agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

"Insiden keganasan yang berlaku terhadap beberapa pemain bola sepak baru-baru ini merupakan titik hitam dalam dunia sukan negara khususnya industri bola sepak.

"Kami amat terkesan tatkala menekuni sidang media terkait perkembangan mutakhir Faisal Halim beberapa hari lalu yang sememangnya menyentuh nurani rakyat," katanya.

Kenyataan itu diterbitkan secara bersama oleh Exco kerajaan Melaka Dr Akmal Saleh dari Umno; Exco kerajaan Selangor Najwan Halimi dari PKR, Exco kerajaan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen dari DAP, Ahli Dewan Negara Senator Hasbie Muda dari Amanah; serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Bersatu dan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas.

Menurut kenyataan itu lagi, bola sepak yang selama ini dijulang sebagai sukan yang menyatukan rakyat kini dicemar dengan elemen keganasan dan ketaksuban melampau hingga menjurus kepada perpecahan di kalangan masyarakat.

"Keganasan dalam sukan mesti dihentikan. Langkah proaktif wajar digerakkan oleh semua pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menangani budaya 'hooliganisme' daripada terus menular dan merosakkan industri bola sepak negara.

"Justeru, kami amat berharap pihak berkuasa akan bertindak tegas serta memastikan siasatan menyeluruh dan telus dilaksanakan terhadap insiden-insiden keganasan yang membabitkan atlet-atlet sukan negara," katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh mengecam tindakan kurang perikemanusiaan oleh individu tidak dikenali ke atas pemain Selangor FC, Faisal Halim apabila dirinya menjadi mangsa disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan bagi mengesan pelaku dalam kes itu masih giat dijalankan dan tidak akan berhenti sehingga pelakunya ditangkap.

Beliau berkata, PDRM kini meluaskan skop siasatan termasuk mengambil beberapa keterangan di pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri membabitkan dua fasa dan kini ia memasuki fasa kedua.

Kelmarin, Faisal membuat kemunculan pertama di depan khalayak umum menerusi satu sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam.

Selepas mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia itu dibenarkan keluar, 25 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 10:13 PM