MAHFIZUL akui terkejut dengan insiden yang menimpa Faisal dan menyeru peminat mendoakan kesejahteraan pemain itu. FOTO Ihsan Selangor FC
MAHFIZUL akui terkejut dengan insiden yang menimpa Faisal dan menyeru peminat mendoakan kesejahteraan pemain itu. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC memandang serius insiden menimpa bintang bola sepak negara, Faisal Halim dan akan membuat laporan polis berhubung isu itu.

Terdahulu, Faisal atau lebih popular dengan panggilan Mickey disimbah asid sehingga mengalami kecederaan teruk di beberapa anggota badan.

Pengurus pasukan Red Giants, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid akui terkejut dengan insiden yang menimpa Faisal dan menyeru peminat mendoakan kesejahteraan pemain itu.

"Kita tak mahu beri komen lanjut kerana tidak mahu menimbulkan apa-apa spekulasi, biarlah pihak polis menyiasat insiden itu.

"Saya harap kita doakan kesihatan Faisal agar tidak ada kecederaan yang teruk menimpanya.

"Kita doakan supaya Faisal cepat sembuh dan baik-baik sahaja. Saya harap pemain lain selepas ini juga berhati-hati di luar sana agar insiden sama tidak berulang," kata Mahfizul ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Selangor FC mengeluarkan kenyataan media dan akan bekerjasama dengan pihak polis.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pemain Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi mangsa serangan asid petang tadi.

"Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terbabit.

"Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi dia dan keluarganya pada masa ini," katanya kelab itu di laman sosial.

Terdahulu Arena Metro melaporkan bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan Faisal dikhabarkan diserang oleh individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disembah asid.

Kejadian itu juga mendapat perhatian serius dari Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengecam tindakan itu dan meminta pihak PDRM untuk mengambil tindakan tegas kepada individu yang terbabit.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet. 'No violence in sports!' Saya meminta PDRM untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku," katanya menerusi akaun Twitter rasminya.

Kejadian ini adalah yang kedua menimpa pemain kebangsaan selepas Akhyar Rashid pada Khamis lalu dipukul hingga tercedera di kepala dan kakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 7:50 PM