Atlet para lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO AFP
Atlet para lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius insiden yang berlaku terhadap atlet para lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan kecewa dengan tata cara Jawatankuasa Penganjur Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia (WPA) dalam mempertimbangkan kes berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kekecewaan itu hadir selepas IPC tidak memberi pertimbangan sewajarnya jika benar Ziyad serta dua atlet dari Ecuador dan Australia lewat sedikit memasuki Call Room.

"Apatah lagi atlet-atlet itu sudah bersedia menunggu selama lima tahun tetapi harapan dan semangat paralimpik mereka dimusnahkan kerana kelewatan tidak sampai pun 5 minit sahaja.

"Bukan kepada seorang sahaja atlet tetapi melibatkan tiga atlet dari tiga negara dan ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, beliau sudah meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk mendapatkan laporan awal insiden yang berlaku dan meminta MSN bersama-sama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menggerakkan Jawatankuasa Siasatan.

"Bagi melihat insiden berkenaan secara menyeluruh dan menyediakan pelan tindakan lanjut yang perlu dilakukan mengenai bantahan dan rayuan rasmi yang dilakukan dan juga kaedah pada masa depan bagaimana hendak menangani supaya insiden sama tidak akan berlaku kepada atlet negara nanti.

"Saya juga ingin menggesa untuk semua pihak tidak menuding jari mencari kesalahan sesiapa dalam hal ini tetapi yang paling penting agar semua pihak termasuk IPC dan WPA melihat semula peraturan termasuk peraturan yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskannya.

"Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada Ziyad dalam mengharungi dugaan ini dan pada masa yang sama terus menyatakan sokongan kepada atlet-atlet negara yang masih bertanding di Tokyo," katanya.

Rayuan terhadap penarikan semula pingat emas yang dimenangi Ziyad di Paralimpik Tokyo semalam sah ditolak hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:51 PM