ASRI  (kanan) ketika bertemu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Pejabat Ketua Menteri
ASRI (kanan) ketika bertemu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Pejabat Ketua Menteri
Nazri Abu Bakar


Melaka: Tumpuan serius dalam 16 jenis sukan teras menjadi fokus utama Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada 2024.

Mohd Asri yang juga bekas jurulatih skuad Liga Super Melaka United (MU ) dilantik menjawat jawatan berkenaan berkata, walaupun Sukma 2024 masih jauh namun agenda pemerkasaan sukan perlu dilaksanakan lebih awal bagi mengelak perancangan dilakukan pada saat-saat akhir.

Katanya, potensi kilauan pingat dalam cabang sukan berkenaan, keupayaan atlet dan persediaan rapi antara misi dan visi diutamakan sebaik memegang jawatan terbabit.

Bagaimanapun, sukan-sukan lain tidak akan diketepikan sama sekali malah ia sentiasa turut menjadi tumpuan dalam melonjak kecemerlangan sukan di negeri berkenaan.

"Persiapan awal amat penting bagi menghadapi Sukma 2024. Sehubungan itu semua program pembangunan sukan di negeri ini akan terus digerakkan, selain turut merangka pelbagai perancangan yang berkesan untuk atlet-atlet muda.

"Pengalaman luas dalam sukan bola sepak, pengurusan, pentadbiran sukan serta terbabit dalam pengurusan bank selama kira-kira 25 tahun membolehkan saya berani menyahut cabaran di dalam MSN Melaka, terutama dalam misi memacu kecemerlangan sukan negeri,"katanya.

Beliau berkata, apapun pelantikannya dianggap satu cabaran besar untuknya namun dalam masa sama beliau yakin misinya untuk meletakkan sukan Melaka ke satu tahap lebih baik.

Beliau yang dilantik berkuat kuasa 15 November lalu bukan nama asing dalam arena bola sepak negara kerana membimbing Negeri Sembilan dan Melaka United dan mantan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 2:43 PM