Firdaus Hashim

Kajang: Arena sukan negara kehilangan 'hero Malaysia' apabila pemanah bertaraf Olimpian, Haziq Kamaruddin disahkan meninggal dunia hari ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria menyifatkan kehilangan Haziq adalah satu kesedihan yang pasti dirasai oleh seluruh pentadbir dan pemain industri sukan negara.

Menurutnya, kejayaan meraih pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa dan layak sebanyak dua kali ke Olimpik London 2012 dan Rio, Brazil 2016 adalah bukti kehandalan Haziq di medan perjuangan yang tiada tolok bandingnya.

"Saya selalu katakan, mereka ini adalah sekumpulan atlet-atlet yang sudah banyak berjuang sebab itu bila saya mendengar kehilangan Haziq pagi tadi yang sudah berada di Olimpik dua kali dan sedang berusaha untuk menuju ke layak ke Olimpik Tokyo, dia adalah antara atlet yang banyak berjuang pada negara.

"Bagi pihak seluruh industri sukan, saya nak merakamkan pertama ucapan takziah saya dan kedua ucapan terima kasih kita kepada saudara Haziq di atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada sukan negara khususnya dalam sukan memanah.

NORZA bercakap dengan media di Hospital Kajang. FOTO Owee Ah Chun
NORZA bercakap dengan media di Hospital Kajang. FOTO Owee Ah Chun

"Saya mahu semua mereka yang berada dalam industri sukan dan rakyat Malaysia mendoakan agar roh Allahyarham di tempatkan dikalangan mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh.

"Kita doakan di hari mulia ini (Aidilfitri) supaya keluarga Haziq tabah menghadapi dugaan yang sangat besar ini dan kita bersimpati dan berdukacita," katanya.

Ujarnya lagi, beliau berharap atlet negara yang mengenali Haziq agar tabah dan bersabar supaya persediaan serta prestasi mereka untuk menghadapi kejohanan tidak terganggu.

"Tentu sahaja sedikit sebanyak ia akan memberi kesan negatif secara emosi kepada atlet-atlet kita, namun sebagaimana kita semua sedia maklum, atlet-atlet kita selalu meletakkan kepentingan negara daripada kepentingan diri.

"Saya berharap untuk kita semua memberitahu atlet-atlet kita bersabar dan ini adalah dugaan untuk kita semua harus tempuhi, apa sahaja yang berlaku ini kita reda dengan pemergiannya. Kita berharap bahawa atlet-atlet semua dapat mendoakan yang terbaik buat arwah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 6:57 PM