Mohamad Assahid Mohamad Zin dan Noor Shahieda Mohamad Aamin bersama anak mereka Ayra Sumayyah yang menghidap penyakit hati. FOTO Rohanis Shukri.
Mohamad Assahid Mohamad Zin dan Noor Shahieda Mohamad Aamin bersama anak mereka Ayra Sumayyah yang menghidap penyakit hati. FOTO Rohanis Shukri.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pesakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid memberi maklum balas baik selepas sedar, petang semalam. 

   Keadaan bayi berusia setahun itu juga semakin baik namun masih ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan pasukan perubatan di Hospital Renji, China.

   Ibunya, Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, berkata, bagaimanapun dia dan suami, Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35, masih belum dapat bertemu anak mereka.

  Katanya, dia juga bersyukur apabila dimaklumkan 20 peratus hatinya yang didermakan kepada anak kesayangan itu berfungsi dengan sangat baik. 

   "Anak kami sedar selepas doktor membuka (alatan) 'intubate' (menidurkan pesakit dengan ubat tidur) pada 3.20 petang.

  "Alhamdulillah, keadaan Ayra Sumayyah semakin baik dan dia juga memberikan maklum balas baik kepada pasukan perubatan yang memantau keadaannya. Kulit dan mata dia juga sudah kembali normal bukan kuning lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

  Menurutnya, Ayra Sumayyah juga dijangka akan dipindahkan ke wad biasa bersamanya pada Isnin depan dan berharap keadaan kesihatan anaknya terus berada dalam keadaan baik. 

  "Buat masa sekarang kami belum dapat jumpa Ayra Sumayyah lagi kerana ICU di sini ibu bapa tidak boleh masuk melawat anak. Insya-Allah nanti kami akan bertemu juga dengan anak," katanya.

  Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Ayra Sumayyah yang menetap di Taman Areca, Bahau di Negeri Sembilan memerlukan bantuan untuk melakukan pemindahan hati yang didermakan ibunya, Noor Shahieda di China.

  Bacaan kuning hati Ayra Sumayyah semakin tinggi menjadikan perutnya membesar, mata dan kulitnya juga semakin kuning selain kulit juga kering serta bayi itu memerlukan bantuan untuk berdiri atau duduk selain masih belum boleh berjalan dan merangkak.


Doakan pembedahan Ayra Sumayyah lancar

Selamatkan hati Ayra, hadiah hari lahir terbaik saya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:26 PM