Aplikasi TheNoor
Aplikasi TheNoor

Kuala Lumpur: Syarikat pembangun aplikasi gaya hidup muslim, TheNoor mengecam sekeras-kerasnya penggunaan gambar berunsur lucah yang didakwa digunakan pengasas syarikat itu yang juga selebriti terkenal Neelofa untuk sebuah jenama produk miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga pengasas bersama TheNoor, Mohd Izzairi Yamin menegaskan TheNoor tidak mempunyai sebarang kaitan dengan produk atau syarikat terbabit.

"Selaku CEO dan pengasas bersama TheNoor saya tidak bersetuju sama sekali penggunaan gambar atau hantaran berunsur lucah untuk tujuan pemasaran, promosi dan sewaktu dengannya.

"Ramai juga yang mengecam kononnya TheNoor tidak melakukan pemeriksaan terhadap gambar-gambar tular yang tidak beretika. Kami ingin tegaskan bahawa TheNoor tidak ada kaitan dengan produk atau syarikat terbabit," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Menurut Izzairi, pihaknya memohon maaf atas segala kekeliruan yang berlaku dan menegaskan syarikat TheNoor akan cuba menyelesaikan masalah yang berlaku dengan segera.

"Komitmen kami untuk mengekalkan jenama yang profesional dan menghormati masyarakat tidak akan pernah berubah. Kami amat kesal atas sebarang kesulitan atau salah faham yang mungkin telah menggusarkan pelanggan, rakan kongsi, dan pihak berkepentingan kami.

"Kami mengambil serius perkara ini dan sedang menyelesaikan hal ini di peringkat dalaman untuk memastikan insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan. TheNoor tetap komited untuk mengekalkan piawaian integriti dan profesionalisme yang tertinggi dalam semua aspek perniagaan kami.

Kami menghargai semua yang memahami dan yang berterusan menyokong kami ketika kami menangani situasi ini," katanya.

Sebelum ini pihak Nilofa Group yang difahamkan milik usahawan selebriti popular, Neelofa, 35, tampil memohon maaf di atas kekhilafan berlaku.

Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram syarikat itu, dikongsikan kenyataan permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden berlaku mengaitkan penggunaan imej berbaur lucah atau 'soft porn' bagi promosi produk mengeratkan hubungan suami isteri.

Terdahulu, menerusi hantaran dimuat naik di akaun @nilofagroup, dipaparkan imej buah pic yang digunakan sekali gus mengundang dakwaan netizen dengan dikatakan cuba memberi gambaran seakan menyerupai alat sulit wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:58 PM