RAFIZI berucap pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Tasek Indah. FOTO Danial Saad
RAFIZI berucap pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Tasek Indah. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan kepada pembangkang bahawa hanya negara yang berada di ambang muflis akan memohon bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Beliau berkata, keadaan ekonomi negara masih mampu menanggung hutang dan belum bankrap sehingga perlu meminjam kepada institusi kewangan terakhir dunia itu.

"Faham ke tidak kenapa negara-negara lain pergi kepada IMF? IMF adalah institusi kewangan terakhir dunia. Maksudnya bila sudah pinjam satu dunia, bila sudah tak boleh bayar hutang nak bankrap macam Sri Lanka baru kamu pergi kepada IMF.

"Kamu tak pergi kepada IMF kalau kamu masih boleh bayar hutang. Ada Malaysia nak bankrap sekarang? Ada kita tak boleh bayar? (hutang)," katanya pada Ceramah Perdana Perpaduan di sini, malam tadi.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berpendapat, negara yang masih mempunyai wang akan dianggap sebagai gila jika masih ingin meminjam kepada IMF justeru persoalan itu seharusnya tidak harus ditimbulkan.

"Tak timbul soal (meminjam) IMF kalau pun ada, orang gila nak pergi pinjam dengan IMF. IMF kata kamu gila kamu tak boleh pinjam daripada kami kerana kamu masih lagi ada duit.

"Negara yang pergi kepada IMF hanyalah negara yang sudah nak bankrap baru boleh pergi (pinjam)," katanya.

Berhubung soal itu, Rafizi turut mengkritik pihak pembangkang kerana menumpukan perhatian kepada perkara remeh temeh dan kelihatan tidak memahami dasar kewangan sehingga memalukan diri sendiri apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

"Lain kali dalam kelas masa cikgu mengajar jangan main TikTok dengar cikgu mengajar. Buat malu dekat orang saja," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan sama ada tindakan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan subsidi mempunyai kaitan dengan pinjaman IMF.

Muhyiddin turut bertanya sama ada perubahan dasar berkenaan menunjukkan kemungkinan Malaysia akan meminjam kepada IMF pada masa depan.

"Saya tidak menuduh, saya hanya bertanya. Cuba jawab ini. Saya mahu tahu jawapannya," kata Muhyiddin ketika menyampaikan Ceramah Mega PN pada Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 1:42 PM