SHAHIEDA (empat kiri) menjadi penderma hati kepada anaknya, Ayra Sumayyah akan menjalani pembedahan di Hospital Renji, China. FOTO ihsan pembaca
SHAHIEDA (empat kiri) menjadi penderma hati kepada anaknya, Ayra Sumayyah akan menjalani pembedahan di Hospital Renji, China. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, ini hadiah hari lahir terbaik saya perolehi apabila anak dapat menjalani pembedahan di China. Saya juga berharap orang ramai dapat membantu mendoakan pembedahan anak serta saya berjalan lancar."

Demikian luahan Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, ibu kepada Ayra Sumayyah Mohamad Assahid, setahun, yang menderita penyakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati sejak sejak berusia dua minggu.

Noor Shahieda yang bakal menjadi penderma hati kepada anak keduanya itu akan menjalani pembedahan di Hospital Renji, China.

Mereka turut ditemani suami, Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35.

Menurut Noor Shahieda, mereka menaiki penerbangan ke China pada 8.40 pagi tadi dengan diiringi dua petugas badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Nadi Pertama Malaysia yang akan membantu mereka sepanjang di negara itu.

"Saya dan anak dijangka akan menjalani pembedahan seminggu lagi. Ini berikutan kami perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekali lagi termasuk ujian darah, CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) dan pemeriksaan hati.

"Selepas itu barulah kami akan menjalani pembedahan. Sebagai penderma hati saya rasa berdebar namun saya ketepikan demi melihat anak sembuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.

Katanya, keadaan kesihatan mereka kini baik dan berharap pembedahan yang bakal dilakukan tiada sebarang komplikasi.

"Kalau diikutkan, dana yang ada ketika ini adalah RM200,000 dan ia belum mencapai sasaran awal RM250,000. Namun kami pergi juga ke China kerana anak kami perlu cepat menjalani pembedahan itu. Anak juga semakin kuat menggaru badan hingga berdarah kerana kulitnya semakin kering.

"Justeru kami mengharapkan orang ramai dapat mendoakan kami dan selamat menjalani pembedahan.

"Hanya Allah SWT saja dapat membalas jasa semua pihak yang sudi membantu memberi sumbangan kepada kami," katanya yang dijangka akan berada di China selama sebulan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Ayra Sumayyah yang menetap di Taman Areca, Bahau di Negeri Sembilan memerlukan bantuan untuk melakukan pemindahan hati yang didermakan ibunya, Noor Shahieda di China.

Bacaan kuning hati Ayra Sumayyah semakin tinggi menjadikan perutnya membesar, mata dan kulitnya juga semakin kuning selain kulit juga kering serta bayi itu memerlukan bantuan untuk berdiri atau duduk selain masih belum boleh berjalan dan merangkak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 12:12 PM