NUR Hasnadia melihat anaknya, Nur Afeeya Haura yang mengidap sindrom Pierre Robin dan sumbing lelangit sejak lahir. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
NUR Hasnadia melihat anaknya, Nur Afeeya Haura yang mengidap sindrom Pierre Robin dan sumbing lelangit sejak lahir. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perumpamaan sesuai menggambarkan dugaan dilalui suami isteri ini apabila anak mereka dilahirkan tidak seperti kanak-kanak normal lain.

Nur Afeeya Haura Abdullah Syahid yang berusia enam bulan disahkan menghidap sindrom Pierre Robin dan sumbing lelangit, memaksanya bergantung alat pernafasan sejak lahir.

Nur Hasnadia Mohamad, 25, berkata, anaknya sukar bernafas kerana sumbing lelangit dan tulang rahang bawah kecil, menyebabkan lidahnya ke belakang dan menyekat tekak.

Katanya, Afeeya dijangka terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sehingga usianya 18 bulan, selain perlu jalani rawatan berkala di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

"Saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama setahun bagi menguruskan anak sepenuh masa. Sebelum ini saya bekerja kilang yang sama dengan suami di Pulau Pinang.

"Kini hanya bergantung kepada gaji suami kira-kira RM1,500 sebulan untuk keperluan hidup," katanya yang tinggal di Taman Rhu, Tikam Batu di sini.

Nur Hasnadia berkata gaji suaminya Abdullah Syahid Mohd Noor, 25, tidak mampu untuk menampung kos perubatan dan keperluan anaknya yang turut memerlukan susu khas dan makanan tambahan.

"Gaji suami hanya cukup-cukup untuk membayar sewa rumah, bayaran bulanan kereta, motosikal dan bil air. Bil elektrik juga semakin meningkat kerana terpaksa memasang penyaman udara selama 24 jam setiap hari kerana Afeeya tidak boleh berpeluh.

"Susu khas Afeeya sahaja RM54 satu tin, selain makanan tambahannya juga mahal. Dia perlu makan menerusi tiub, itu belum termasuk lampin pakai buang yang dianggarkan keseluruhan lebih RM600 sebulan," katanya.

Nur Hasnadia berkata, mereka kini banyak bergantung kepada sumbangan ikhlas ahli keluarga, badan bukan kerajaan (NGO), rakan dan wakil rakyat kawasan berkenaan.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 09010020961473 atas nama Nur Hasnadia Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:59 PM