KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa. FOTO arkib NSTP
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan bantahan terhadap kerajaan yang diadakan di kawasan letak kereta awam di Kompleks Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia susulan tindakan pihak penganjur yang tetap mengadakan perhimpunan itu walaupun dinasihatkan polis sebelum ini bahawa pemilik premis tidak memberi kebenaran penggunaan lokasi berkenaan.

"Justeru, satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Seramai 12 individu termasuk penganjur sudah dikenal pasti untuk dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kumpulan baju hitam dikatakan menyertai perhimpunan dinamakan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' yang diadakan bermula selepas solat Asar di parkir Kompleks Seri Perdana.

Laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri itu dipasang penghadang berikutan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya selaku pemilik tanah.

Rusdi dilaporkan berkata, polis sudah menasihatkan penganjur tidak meneruskan perhimpunan dijadualkan di tempat letak kereta awam kerana tidak mendapat kebenaran.

Katanya, sebanyak 85 laporan polis diterima berhubung video yang tular di aplikasi TikTok memaparkan diskusi mengajak orang ramai menyertai perhimpunan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:51 PM