Ayra Sumayyah akan jalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji esok.
Ayra Sumayyah akan jalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji esok.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pesakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid akan menjalani pemindahan hati di Hospital Renji, China, esok.

Ibunya, Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, bakal menjadi penderma hati kepada Ayra Sumayyah berusia setahun dan mereka akan menjalani pembedahan itu pada 7.30 pagi.

Noor Shahieda berkata, mereka kini berada dalam keadaan baik dan dia juga mengakui sedikit berdebar-debar untuk menjalani prosedur berkenaan, namun demi kesihatan anak tersayang dia membuang rasa itu.

"Pembedahan saya sebagai penderma dijangka mengambil masa lima jam, manakala prosedur Ayra (penerima) pula dijangka ambil masa lapan jam," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia berharap orang ramai sudi mendoakan pembedahan itu berjalan lancar dan tiada sebarang komplikasi berlaku.

Selepas pembedahan Ayra akan dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lima hingga enam hari bergantung kepada keadaannya. Saya pula jika semua baik dan stabil akan terus dipindahkan ke wad biasa.

"Suami (Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35) akan jaga saya dalam tempoh itu dan mungkin dalam masa dua hingga tiga hari saya sudah boleh bangun serta jalan seperti biasa.

"Semoga pembedahan esok berjalan lancar dan saya sangat berharap Ayra Sumayyah sihat sepenuhnya serta dapat membesar seperti anak lain," katanya memberitahu keluarga akan membuat bacaan Yasin untuk mereka malam ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Ayra Sumayyah yang menetap di Taman Areca, Bahau di Negeri Sembilan memerlukan bantuan untuk melakukan pemindahan hati yang didermakan ibunya, Noor Shahieda di China.

Bacaan kuning hati Ayra Sumayyah semakin tinggi menjadikan perutnya membesar, mata dan kulitnya juga semakin kuning selain kulit juga kering serta bayi itu memerlukan bantuan untuk berdiri atau duduk selain masih belum boleh berjalan dan merangkak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 8:29 PM