Pasangan suami isteri, Mohamad Assahid Mohamad Zin dan Noor Shahieda Mohamad Aamin bersama anak mereka Ayra Sumayyah. Ayra Sumayyah berusia setahun menghidap penyakit Biliary Atresia (BA) atau penyakit hati yang memerlukan rawatan di China. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pasangan suami isteri, Mohamad Assahid Mohamad Zin dan Noor Shahieda Mohamad Aamin bersama anak mereka Ayra Sumayyah. Ayra Sumayyah berusia setahun menghidap penyakit Biliary Atresia (BA) atau penyakit hati yang memerlukan rawatan di China. FOTO ROHANIS SHUKRI
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Usia Ayra Sumayyah Mohamad Assahid baru setahun namun bayi itu sudah diuji dengan ujian getir apabila dikesan menghidap penyakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati sejak berusia dua minggu.

Ayra Sumayyah kini memerlukan bantuan dana perubatan segera untuk melakukan pemindahan hati didermakan ibunya, Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, di Hospital Renji, China yang memerlukan kos keseluruhan RM250,000.

Noor Shahieda berkata, tiada apa yang meremuk hatinya selain melihat keadaan anak tersayang yang kini masih belum dapat menjalani pembedahan kerana dana diperlukan masih belum mencukupi.

Menurutnya, anak kesayangannya itu dinasihatkan untuk melakukan prosedur berkenaan sebelum usianya mencapai dua tahun dan sebelum keadaan kesihatannya semakin serius.

"Ketika ini hati anak membesar sehingga enam sentimeter (cm) dan ia juga sudah terkeluar daripada tulang rusuknya, manakala saiz limpa sudah empat cm.

"Bacaan kuning hatinya semakin tinggi menjadikan perut semakin besar, mata dan kulit anak juga semakin kuning selain kulitnya juga kering. Anak juga memerlukan bantuan untuk berdiri atau duduk selain masih belum boleh berjalan dan merangkak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, anak sudah melakukan pembedahan pada usia 47 hari untuk mengelakkan hati menjadi lebih teruk namun bayi itu tidak boleh bertahan hingga dewasa dan sangat memerlukan pemindahan hati dengan segera.

Katanya, dia rela melakukan apa saja demi anaknya termasuk mendermakan hatinya, malah bersedia melakukan prosedur pada bila-bila masa cuma masih kekurangan dana perubatan dan mengakui tidak mampu menampung kos berkenaan.

"Pendapatan keluarga bergantung kepada suami (Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35) yang juga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) jadi kami tak mampu menampung kos itu namun mahu melihat Ayra Sumayyah membesar dan sihat.

"Pembesaran anak normal cuma agak lambat berbanding bayi seusianya dan kini berat badannya hanya 7.5 kilogram (kg) saja sedangkan bayi seusianya sepatutnya lebih10 kg. Anak juga kini memerlukan susu khas membantu berat badannya naik selain vitamin dan ubat dibekalkan hospital," katanya.

Menurut Noor Shahieda, dia bimbang keadaan anak semakin serius terutama jika perut bayi itu terus membesar dan akan dipenuhi air yang akan menyebabkan anak tidak boleh bangun, bergerak dan berat badannya juga akan menyusut.

"Ketika ini wang yang ada masih terlalu sedikit dan saya takut apabila menunggu lama (pembedahan dilakukan) keadaan hati anak akan semakin merosot dan ia berisiko mengalami muntah darah dan berak berdarah.

"Paling membimbangkan apabila keadaannya sudah teruk anak tidak boleh menjalani pembedahan. Sebab itu saya berharap anak dapat menjalani pembedahan segera ketika keadaannya sesuai menjalani prosedur itu," katanya mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 10 tahun.

Katanya yang menetap di Taman Areca, Bahau di Negeri Sembilan, Ayra Sumayyah kini mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini sementara menunggu dana mencukupi untuk menjalani pembedahan di China.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Shahieda di talian 01126138576 atau menyalurkan sumbangan ke akaun

Maybank bernombor 162263474429 atas nama Noor Shahieda Mohamad Ajamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 2:38 PM