MUSTAQIM memegang Socks, anak kucing yang tular selepas melecur akibat dibakar. FOTO Ihsan Nur Nabila Najwa.
MUSTAQIM memegang Socks, anak kucing yang tular selepas melecur akibat dibakar. FOTO Ihsan Nur Nabila Najwa.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Bermula dengan kisah menyedihkan di jalanan dan tular selepas dibakar, kini Socks dapat kehidupan baharu yang Insya-Allah lebih baik berbanding sebelum ini bersama pemilik baharunya," kata Nur Nabila Najwa Azman, 27.

Wanita itu yang menjadi penyelamat seekor anak kucing yang melecur teruk selepas dibakar tiga lelaki di Kajang, Selangor pada April lalu.

Kucing dinamakan Socks itu diserahkan kepada pelakon, Mustaqim Bahadon, kelmarin untuk dipelihara selepas sihat dan kembali aktif.

Nur Nabila Najwa berkata, kucing berkenaan sihat, aktif dan semakin comel dengan berat badan turut bertambah berbanding sebelum ini.

"Alhamdulillah, Socks sudah semakin sihat, gemuk dan aktif, malah lukanya juga mengering serta pulih. Perkembangan kesihatannya membuatkan saya gembira dan lebih bersyukur apabila Socks juga sudah mendapat pemilik baharu.

"Walaupun Mustaqim artis (dikenali ramai) tetapi saya tetap membuat tapisan dan temubual untuk memastikan kebajikan Socks terbela.

"Mustaqim orang pertama menyuarakan hasrat mengambil Socks dan banyak membantu daripada awal," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, dia berharap dan turut percaya kucing berkenaan akan mendapat kehidupan lebih baik bersama Mustaqim dan beberapa kucing lain milik pelakon berkenaan.

"Selepas keluar wad di klinik veterinar, saya bawa Socks pulang ke rumah untuk meluangkan masa bersama sebelum diserahkan kepada Mustaqim.

"Sedih juga tetapi saya gembira Socks semakin sihat dan dapat pemilik baharu," katanya.

Penterjemah swasta itu berkata, dia juga berterima kasih atas sokongan diberikan ramai kepadanya terutama sumbangan dana kos perubatan kucing itu sepanjang dirawat di klinik swasta.

"Terima kasih kepada penyumbang dan saya juga terima banyak sokongan sejak kisah Socks mendapat perhatian. Jasa kalian hanya Allah SWT saja yang dapat membalasnya.

"Keadaan Socks ketika ini melegakan hati saya, namun tetap berharap individu yang melakukan perbuatan itu diberikan hukuman setimpal dan kes dapat diadili agar jadi pengajaran kepada orang lain," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah kucing malang berkenaan yang diselamatkan Nur Nabila Najwa atau dikenali sebagai Sonia di media sosial.

Terdahulu tular rakaman video berkaitan kejadian itu yang menunjukkan tiga lelaki sedang melepak di parkir motosikal sebuah flat dan dua daripada mereka kemudian menyimbah cecair dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dianggarkan berusia enam minggu sebelum salah seorang menyalakan api.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 5:27 PM