GAMBAR fail, Noor Shahieda bersama Ayra Sumayyah sebelum menjalani pembedahan di China. FOTO Rohanis Shukri
GAMBAR fail, Noor Shahieda bersama Ayra Sumayyah sebelum menjalani pembedahan di China. FOTO Rohanis Shukri
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pesakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid yang menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, China sudah pulang ke tanah air, kelmarin.

Ayra Sumayyah yang berusia setahun itu tiba di tanah air bersama ibu, Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, yang juga penderma hatinya dan bapa, Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35, serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) pada 9.30 pagi.

Noor Shahieda berkata, mereka kini ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini untuk pemantauan kesihatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Alhamdulillah, kami berdua dalam keadaan baik dan bacaan hati Ayra terus menurun...kembali normal, malah mata dan kulit juga semakin baik sudah tidak berwarna kuning lagi. Selera makan seperti biasa dan perut anak juga sudah tidak besar.

"Ketika ini kami menunggu untuk imbasan ultrasound pada Rabu minggu hadapan dan apabila keputusan sudah baik kami sudah boleh pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi.

AYRA Sumayyah sudah pulang ke tanah air bersama ibu bapanya, Noor Shahieda dan Mohamad Assahid. FOTO Ihsan  Noor Shahieda Mohamad Ajamin
AYRA Sumayyah sudah pulang ke tanah air bersama ibu bapanya, Noor Shahieda dan Mohamad Assahid. FOTO Ihsan Noor Shahieda Mohamad Ajamin

Menurutnya, penyakit anaknya itu sudah sembuh namun Ayra Sumayyah masih memerlukan pemeriksaan secara berkala di PPUM sepanjang hayat dan masih dibekalkan ubat juga.

"Ayra kini sudah boleh melakukan aktiviti seperti kanak-kanak lain tetapi masih tetap perlu berhati-hati. Buat masa sekarang kami perlu elak berada di tempat ramai orang untuk menghalang daripada sebarang jangkitan," katanya.

Noor Shahieda turut bersyukur apabila anak kesayangannya dapat menjalani pembedahan dan prosedur itu juga berjalan lancar serta turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu anak untuk meneruskan kehidupan dengan baik.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Ayra Sumayyah yang menetap di Taman Areca, Bahau di Negeri Sembilan memerlukan dana pembedahan melakukan pemindahan hati yang didermakan ibunya, Noor Shahieda di China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 6:14 PM