Pesara polis yang diserang strok otak, Khalid Yusof, 64, menerima kunjungan rombongan Persatuan Kebajikan Pesara Pegawai Rendah Polis Negeri Kelantan (PKPPRPNK) yang hadir di kediamannya di Kampung Buluh Poh, Melor, menyerahkan kerusi roda untuk kegunaannya. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pesara polis yang diserang strok otak, Khalid Yusof, 64, menerima kunjungan rombongan Persatuan Kebajikan Pesara Pegawai Rendah Polis Negeri Kelantan (PKPPRPNK) yang hadir di kediamannya di Kampung Buluh Poh, Melor, menyerahkan kerusi roda untuk kegunaannya. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Empat bulan selepas bersara, bekas anggota polis trafik Khalid Yusof, 64, diuji apabila mengalami serangan strok otak dan masalah saraf.

Kejadian yang berlaku kira-kira empat tahun lalu itu menyebabkan Khalid dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, selama 42 hari.

Namun, keadaan semakin teruk apabila Khalid turut dijangkiti Covid-19 yang menyebabkan peluangnya untuk terus hidup agak tipis.

Isterinya, Nor Farihan Yunoh, 39, berkata mereka sekeluarga reda dan sedia berdepan segala kemungkinan, namun semangat suaminya yang kuat menyebabkannya mampu bertahan sehingga hari ini.

"Kini suami hanya terlantar kerana lumpuh kedua belah kaki dan tangan kanan serta mengalami masalah untuk bertutur.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah sekurang-kurangnya suami tetap ada respon, tetapi apa yang merisaukan apabila dia sentiasa berfikir dan bermain dengan emosi menyebabkan tekanan darahnya naik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buluh Poh, Melor, di sini.

Nor Farihan berkata, suaminya sentiasa sebak terutama jika ada yang bercerita perihal keluarga dan kenangan semasa bertugas, malah turut mengalirkan air mata jika ada kenalan menziarahinya.

Menurutnya, selain darah tinggi, suaminya turut menghidap beberapa penyakit lain iaitu masalah jantung serta buah pinggang tahap tiga dan akan dipasang fistula bagi proses dialisis dalam masa terdekat.

"Suami memang bergantung sepenuhnya kepada saya dan tekanan darahnya yang sentiasa naik sering merisaukan saya menyebabkan kami sekeluarga tidak boleh meninggalkannya bersendirian.

"Selain bergantung kepada ubat, suami juga berurut sekali seminggu dan Alhamdulillah, sedikit sebanyak ada perubahannya," katanya yang memiliki dua cahaya mata.

Terdahulu, Khalid yang bersara dengan pangkat Sub Inspektor menerima kunjungan Persatuan Kebajikan Pesara Pegawai Rendah Polis Negeri Kelantan (PKPPRPNK) bagi menyerahkan kerusi roda.

Sementara itu, wakil PKPPRPNK, Inche Saidi Abd Razak berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan ahli yang ditimpa musibah bagi meringankan beban mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 1:26 PM