Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Lebih 1,000 orang ramai berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara, di sini, bagi membawa suara rakyat sempena himpunan Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara, di sini, hari ini.

Himpunan itu diselaraskan oleh pihak sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan memorandum, dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.

Orang ramai mula berkumpul di perkarangan jalan sejak 9 pagi tadi dan turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tanda sokongan sebelum pulang selain kehadiran beberapa ahli politik lain.

Difahamkan, empat individu menyampaikan memorandum itu ke kawasan istana untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tinjauan mendapati perhimpunan dilakukan dalam keadaan terkawal dengan pemantauan pihak polis yang turut menjaga di pintu masuk jalan ke pintu dua Istana Negara.

Orang ramai juga melaungkan takbir sambil mengangkat sepanduk yang membawa mesej 'Rakyat Bersama Hemat Yang Di-Pertuan Agong'.

Peserta himpunan kemudian dilihat mula beredar dari lokasi kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 12:31 PM